Parlimen: Subsidi bersasar, harga lantai getah antara isu ‘hangat’

Isu subsidi bersasar dan harga lantai getah merupakan antara perkara menarik perhatian dalam sesi soal jawan lisan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) meminta Menteri Kewangan menyatakan bilakah subsidi bersasar akan dilaksanakan seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 November tahun lalu.

Beliau turut bertanya adakah kerajaan boleh menjamin bahawa harga barangan tidak akan meningkat apabila subsidi bersasar dilaksanakan.

Sementara itu, isu harga lantai getah yang membebankan pekebun tanaman itu bangkitkan Syed Ibrahim bin Syed Noh (PH-Ledang) kepada Menteri Perladangan dan Komoditi mengenai langkah kementerian dalam menguruskan isu tersebut.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan menyambut baik cadangan untuk mengkaji menaikkan harga lantai getah sekerap sekurang-kurangnya kepada RM3 sekilogram berbanding RM2.70 yang diumumkan pada Belanjawan 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata pengumuman bagi penetapan harga lantai getah itu seharusnya dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan sebelum ini menaikkan Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 kepada RM2.70 menerusi peruntukan sebanyak RM350 juta.

Dalam pada itu, persoalan jaminan keselamatan makanan terus dibangkitkan apabila Ahli Parlimen apabila Pang Hok Liong (PH-Labis) meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan jumlah nilai makanan import dari tahun 2018 hingga tahun lalu.

Selain itu, beliau meminta kementerian menyatakan langkah atau usaha telah atau akan diambil bagi memastikan kualiti dan jaminan keselamatan makanan negara.

Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing ) pula meminta Menteri Pendidikan menyatakan sejauh mana usaha kerajaan menilai semula tahap penguasaan akademik murid sekolah rendah khususnya di kawasan luar bandar selepas pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah duit Kerajaan Negeri Terengganu yang digunakan untuk pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) dan adakah Kerajaan Persekutuan telah membuat pembayaran balik kepada kerajaan negeri.

“Jika ya, nyatakan berapa yang telah dibayar dan berapa baki yang belum dilunaskan,” soalnya bagi sesi jawapan lisan sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sila klik pautan berikut untuk paparan penuh: https://www.parlimen.gov.my/senarai-aum.html?uweb=dn