Parlimen: Subsidi elektrik bersasar T20 diumum hujung tahun

Subsidi bersasar penggunaan elektrik bagi golongan T20 berasaskan pendapatan akan diumumkan selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap hujung tahun ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata buat masa ini, subsidi diberikan berdasarkan kategori jumlah unit elektrik (kWj) pengguna dan bukannya berasaskan pendapatan.

Justeru itu, setelah sistem PADU siap sepenuhnya barulah dasar subsidi bersasar melibatkan pengguna berpendapatan tinggi atau T20 dapat dilakukan, kataya.

“Kalau T20 kita anggap rumah mereka ada lima, enam penyaman udara, ada pengering serta banyak kelengkapan lain dan bil elektrik mereka cecah RM500 hingga RM700 atau lebih.

“Tidak patutlah mereka dapat subsidi yang lebih berbanding golongan lain, kerana ia (subsidi) berdasarkan penggunaan, jadi mereka (T20) yang nikmati lebih banyak subsidi ringgit berbanding pengguna M40 dan B40, secara prinsipnya ini tidak adil,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

BACA JUGA: Guna elektrik amat banyak tidak lagi nikmati subsidi