Pas dan takfiri adalah benar, bukan persepsi

EKSKLUSIF Penasihat Umum AMANAH, Datuk Seri Ahmad Awang menggambarkan Pas sebagai parti yang suka menghukum dan mengkafirkan sesiapa sahaja yang menentang usaha-usaha agama yang dibawa parti itu.

Menurutnya, dakwaan bahawa Pas memainkan isu takfiri iaitu mengkafirkan pihak lain bukanlah tuduhan mahupun persepsi semata-mata.

Takfiri ialah amalan mengisytiharkan seseorang individu tidak lagi mengikuti agama anutan. Ia wujud dalam tradisi agama Samawi.

Ia telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 di mana Pemuda Pas di Kedah pernah membuat kenyataan kontroversi mengatakan pengundi yang mengundi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) akan masuk ke dalam neraka.

“Maka bila kita katakan tentang takfiri ini, maknanya ia bukan lagi merupakan persepsi.

“Ia adalah satu fakta yang dibawa oleh parti yang mengaku perjuangkan Islam yang dahulunya saya telah bersama 40 tahun lebih,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Harapan Daily baru-baru ini.

Pas

Ketika ditanya tentang ucapan pemuda Pas itu, Ahmad berkata bahawa ucapan tersebut termasuk di dalam konteks takfiri. Perbuatan menjatuhkan hukum ke syurga dan neraka terhadap orang lain diumpamakan sebagai mengkafirkan orang.

“Pada kempen PRU, masa dia cakap siapa tak mengundi parti dia boleh masuk neraka, itu maknanya kafir.

“Pasal yang masuk neraka ni Allah dah sebut dalam al-Quran dan Nabi (Muhammad SAW) sebut dalam hadis… (bukan sahaja kafir), orang Islam pun boleh masuk neraka… tetapi mereka dibenarkan masuk syurga sekiranya Allah menerima taubatnya.

“Tetapi secara individu, kita tak boleh kata ‘kau mati nanti masuk neraka’. Mana tahu lagi dua hari dia mati dia masuk Islam.

“Kita tak tahu, jadi sebab itu dalam Islam, ulama-ulama tahu kita tegaskan tak boleh mencela kepercayaan atau agama orang lain,” katanya lagi

Ahmad turut menyifatkan perbuatan menuduh seorang Muslim sebagai kafir tanpa hak sebagai satu jenayah yang berat.

Ini bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya yang lain: Hai kafir, maka kembali tuduhan itu kepada seorang daripada mereka.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Pada masa sama, Penasihat Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia Cabang Malaysia itu menjelaskan, ramai beranggapan bahawa takfiri itu bermaksud parti-parti politik saling kafir mengkafirkan antara satu sama lain.

Namun dalam konteks politik Malaysia, hal itu tidak berlaku kerana di negara ini, hanya ada satu kelompok sahaja yang sering mengkafirkan orang lain iaitu Pas dan tiada parti lain membalas tuduhan kafir itu kepadanya.

Baca juga: Hadi harap ‘mereka yang banyak cakap’ faham konsep sedekah Pas

Baca juga: 20 pemimpin Bersatu disiasat SPRM, mungkin akaun parti lain juga dibeku