
Pas dulu setuju ganti negara Islam dengan negara berkebajikan
Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Pas mengamalkan pendekatan politik yang mengikut kepentingannya hanya demi meraih undi.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, situasi tersebut boleh dilihat pada ucapan pemimpin Pas pada masa ini yang sengaja memainkan sentimen agama dan bangsa semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik.
“Sebagai contoh, suatu ketika dahulu apabila Pas bersama dengan DAP, DAP pernah meminta istilah “Negara Islam” tidak disebut dan Pas bersetuju menggantikannya dengan “Negara Berkebajikan”.
“Inilah contoh pendekatan Pas, apabila ada kepentingan kepada mereka, Pas akan bersetuju dan fatwa politik mereka akan sentiasa berubah-ubah mengikut kepentingan politik Pas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, rakyat pada masa ini disajikan dengan politik melampau dan ekstrem yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN), lebih-lebih lagi dari parti Pas.
Sehubungan itu, Mohamad menegaskan siri pembohongan demi pembohongan Pas serta sikap tidak konsisten dan melampau pimpinan Pas pada masa ini harus ditolak.
“Para pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram perlu bijak memilih dan jangan biarkan sikap melampau ini mula merebak ke dalam diri masyarakat terutama anak muda.
“Politik adalah wadah untuk kita semua bersama-sama mengejar untuk melakukan fastabiqul khairat “Berlumba-lumba melakukan kebaikan/kebajikan”.
“Jadilah, pengundi yang bijak, pilihlah kestabilan dan kemakmuran,” kata Mohamad lagi.
Terdahulu, Mohamad mendedahkan kepincangan Presiden Pas dalam Ceramah Khas “Membongkar Pembohongan Hadi Awang” di Taman Sri Kaseh, Bakri Batu 3, Johor.
Beliau berkata, fokusnya malam tadi adalah untuk memberi penerangan kepada anak muda dan orang awam tentang apa sebenarnya yang terjadi dalam politik Malaysia ketika ini.
BACA JUGA Kami ambil risiko besar tubuh parti baru, tak pernah takut kalah