
Pas juga penggempar buat kenyataan yang diperbesarkan
Pas boleh dikatakan sebagai ‘penggempar’, terutamanya menjelang pilihan raya negeri ketika menganggap pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menerima pelbagai ancaman berikutan pendirian teguhnya dalam perjuangan rakyat Palestin, sebagai kenyataan penggempar.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, Pas harus mencermin diri sendiri kerana juga ada membuat kenyataan yang diperbesar-besarkan.
“Kita menyaksikan sejak beberapa bulan terutamanya ketika pilihan raya negeri, bagaimana Pas mendakwa mengundi parti tertentu akan mengakibatkan huru-hara di seluruh negara.
“Itu tidak berlaku, jadi saya fikir beliau (Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan) patut meletakkan cermin dekat mukanya dan melihat betul-betul kepada dirinya dan partinya,” kata Ketua Penerangan PKR itu.

Pas dilihat cemburu dengan sambutan hangat rakyat Malaysia yang memenuhi Stadium Axiata Arena di Bukit Jalil, 24 Oktober lalu.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Pas memetik Takiyuddin sebagai berkata, pendedahan Anwar adalah kenyataan seorang penggempar yang pelik dan melucukan.

Anwar Ibrahim semasa berpidato dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin.
Dalam pidato Perdana Menteri sempena Himpunan Malaysia Bersama Palestin pada 24 Oktober lalu, beliau mendedahkan menerima pelbagai ‘ancaman’ dari negara Barat ekoran pendirian tegas Malaysia yang menyokong dan komited mempertahankan hak rakyat Palestin, selain kritikan yang dilontar terhadap kerajaan Israel.
Ketika Pas mempersoal Perdana Menteri berhubung pelbagai ancaman diterima susulan kelantangan memperjuangkan Palestin, lebih 6,000 orang sudah terkorban manakala sekurang-kurangnya 17,439 penduduk di bumi anbiya itu cedera.
Bahkan, Israel sudah mula menghantar kereta kebal, tentera dan jentolak berperisai ke Semenanjung Gaza selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengisytiharkan persiapan perang darat akan dilakukan pada bila-bila masa.
BACA JUGA KKD lancar Tabung Kemanusiaan Palestin