PAS Kedah meracuni pemikiran rakyat, ketandusan idea

Kerajaan Kedah pimpinan Pas ketandusan idea sehingga meracuni pemikiran rakyat agar membenci Kerajaan Perpaduan kerana terdesak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata Pas Kedah sanggup mereka isu tidak munasabah yang mempengaruhi pemikiran rakyat supaya ragu-ragu terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pas Kedah terlihat agak ketandusan idea dan isu disebabkan oleh gelombang yang cukup baik dibawa oleh Kerajaan Perpaduan. Kita lihat bagaimana kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pas saban hari memainkan isu-isu yang tidak membangunkan negeri tetapi hanya lebih kepada mengutuk dan memperlekeh Kerajaan Perpaduan.

“Maka itu sedikit sebanyak akan memberikan impak kepada negeri Kedah,” kata Taufiq yag juga Ahli Parlimen Sungai Petani dari PKR kepada Harapan Daily ketika dihubungi.

Menurut Taufiq yang juga Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, langkah diambil oleh Pas Kedah yang secara berterusan menyerang Kerajaan Perpaduan membuktikan parti itu bimbang terhadap penerimaan rakyat negeri itu terhadap usaha Kerajaan Perpaduan sekarang.

Pilihan raya negeri akan berlangsung di negeri Kedah tahun ini. Selain negeri Jelapang Padi, negeri lain yang turut sama membubarkan dewan undangan negeri mereka tahun ini ialah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Kedah, Kelantan dan Terengganu ditadbir PAS manakala negeri selebihnya ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata PH “cukup bersedia” untuk menghadapi PRN walau bagaimanapun organisasi perlu diperkukuhkan lagi dan pimpinan pusat perlu memberi garis panduan yang jelas.

“Pimpinan atasan perlu memberikan ‘guideline’ (garis panduan) yang jelas tentang kerjasama Kerajaan Perpaduan ini, adakah akan dibawa ke peringkat negeri juga khususnya untuk menghadapi PRN.

“Walaubagaimanapun kami di peringkat akar umbi sudah bersiap sedia sekiranya perlu bergabung antara Barisan Nasional (BN) dan PH,” ujarnya.

Sebagai langkah persediaan awal bagi menghadapi PRN, segala gerak kerja termasuk program bersama dengan BN sudah dimulakan di Kedah.

Pada Konvensyen Pilihanraya 2023 PKR Negeri Kedah dan Pulau Pinang Sabtu lepas, timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan bahawa PKR Kedah perlu mempertahankan lima kerusi DUN tradisi parti berkenaan yang tidak pernah dimenangi parti-parti lain sejak tahun 2008 di dalam PRN akan datang.

Beliau turut menyatakan bahawa kemenangan parti itu di lima kerusi DUN iaitu Sidam, Bakar Arang, Bukit Selambau, Kulim dan Lunas akan menjadi petunjuk kepada kemenangan gabungan PH di negeri Jelapang Padi itu.