Pas kini mengaku beri duit kepada pengundi, kata Sarawak Report

Jelas sekali Pas tidak dapat menafikan dakwaan parti mereka menghulurkan wang tunai kepada pengundi semasa pilihan raya, kata Sarawak Report, pihak yang pernah di saman oleh Presiden Pas sebelum ini.

Bagi laman pimpinan Claire Rewcatle Brown itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang, telah memutuskan untuk mengakuinya dengan permainan semantik.

“Rasuah dinamakan semula sebagai ‘sedekah’ dan kami dimaklumkan bahawa terdapat perbezaan besar – atau begitulah dakwaan Hadi – jika jentera kerajaan negeri Pas menyerahkan wang tunai berbanding calon tempatan secara fizikal sendiri menyerahkannya.

“Jika calon Pas didedahkan sedang menghulurkan sampul hijau kepada pengundi, apa salahnya?” tanya penulis Sarawak Report ketika mengulas kenyataan Hadi sebagaimana disiarkan oleh The Malaysian Insight semalam.

Claire pernah mendapat bayaran RM1.4 juta dari Hadi membolehkan saman Hadi terhadap Claire diselesaikan di luar mahkamah di London.

Ia berkaitan dengan dakwaan Claire bahawa Hadi dan Pas menerima wang dari Umno dan Barisan Nasional.

Kini, Hadi dan dua lagi Ahli Parlimen Pas di Terengganu berdepan dengan saman dari Umno Terengganu berikutan dakwaan Pas memberikan rasuah kepada pengundi dalam PRU-15 lalu.

“Semoga berjaya kepada peguam yang memikul tugas mempertahankan pendapat undang-undang Hadi di mahkamah.

“Pemimpin Pas tidak asing lagi dengan alasan yang tidak masuk akal (contohnya berbohong adalah OK jika ia menguntungkan partinya sendiri yang ‘Soleh’) tetapi dia cenderung untuk berteori kepada pengikut yang percaya namun melarikan diri apabila cuba diuji dengan kanun keseksaan.

“Nampaknya kini dia tiada pilihan kerana bukti sudah ada dan kes telah dibawa ke atasnya,” kata Sarawak Report.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang tunai oleh parti itu kepada pengundi semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dengan mendakwa ia adalah sedekah dan tidak melanggar peraturan pilihan raya.

The Malaysian Insight (TMI) memetik Ahli Parlimen Marang itu sebagai berkata peraturan sedia ada hanya melarang calon yang bertanding dan wakil mereka daripada memberi wang tunai kepada pengundi.

“Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi, orang awam nak bagi sedekah terpulang kepada dia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Gelombang Rakyat bersama Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, hari ini.

Abdul Hadi juga menyifatkan petisyen yang difailkan BN untuk mencabar keputusan pilihan raya bagi tiga kerusi Parlimen Terengganu sebagai “perang saraf”.