
Pas tak boleh kata apa AMANAH berkawan dengan Umno
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan Pas pada masa ini tidak layak mengkritik AMANAH yang bersama Umno dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Menurut Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan, Pas sebelum ini pun pernah membuat keputusan bersama Umno menubuhkan Muafakat Nasional (MN).
Malah, tohmahan kononnya takut kalah menjadi faktor sekumpulan bekas pemimpin Pas menyertai AMANAH juga bertentangan dengan fakta sebenar yang terbukti berlaku.
“Dulu macam-macam mereka beritahu pasal keburukan Umno tapi tiba-tiba mereka boleh peluk (dengan UMNO), tapi saya ucap terima kasih kerana Pas boleh berkawan dengan UMNO di bawah MN dan sekarang AMANAH berkawan UMNO, Pas tak boleh kata apa.

Mohamad Sabu
“Lepas itu, tuduh bekas pemimpin Pas menyertai AMANAH kerana takut kalah. Yang takut kalah inilah (Mohamad Sabu) masuk ISA berapa kali, kena buang daerah, lawan Anwar pada PRU hanya hantar songkok.
“Saya terima kekalahan itu, tahun 1990 kita menang di Kelantan tapi tak boleh ambil Malaysia pun kami terima.
“Apabila kita menang pada 2018, Presiden Pas pula tak boleh terima kemenangan itu, dia bersama dengan kumpulan Langkah Sheraton menumbangkan kerajaan bukan melalui PRU,” katanya.
Mohamad berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Kelompok Khas pengundi Simpang Jeram sempena PRK DUN Simpang Jeram di Taman Sri Kasih, Muar, Johor malam tadi.
Untuk rekod, Pas pada 14 September 2019 telah menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional dengan Umno.
Bagaimanapun, Abdul Hadi menjalinkan kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
BACA JUGA Hadi dicabar bubar Lembaga Pengampunan di empat negeri Pas