Pasar raya tidak sorok dan jual minyak masak kepada warga asing

Pasar raya tidak sorok dan jual minyak masak kepada warga asing

Sejak kelmarin tular video didakwa sebuah pasar raya besar NSK di Kuala Lumpur menyorok bekalan minyak masak paket sekilogram.

Orang awam mendakwa minyak masak paket itu kemudian dijual hanya kepada warga asing sehingga warga tempatan tidak dapat membeli bekalan berkenaan.

Berikutan tular video berkenaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan pemeriksaan di Pasar Raya NSK di Jalan Peel, Kuala Lumpur.

KPDN dalam kenyataan memaklumkan pemeriksaan telah dijalankan oleh penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur selepas mengambil maklum laporan media dan video yang tular pada Khamis.

“Hasil pemeriksaan mendapati berlaku salah faham antara beberapa pelanggan yang ingin membeli minyak masak peket sekilogram bersubsidi dalam kuantiti yang banyak,” menurut kenyataan itu.

KPDN memaklumkan pasar raya berkenaan telah mengehadkan pembelian minyak masak peket sekilogram bersubsidi maksimum hanya tiga peket sahaja bagi setiap transaksi, namun ada beberapa pelanggan yang tidak dibenarkan membuat pembelian melebihi had tersebut tidak berpuas hati.

“Pihak Pasar Raya NSK juga telah mengesahkan bahawa tidak berlaku penjualan minyak masak peket sekilogram hanya kepada warga asing sahaja seperti yang didakwa dalam video yang tular itu,” menurut KPDN serta menambah pihak pasar raya telah membuat satu laporan polis berhubung isu tersebut.

 

COMMENTS

Wordpress (0)