Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) diperkenalkan semula

Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) diperkenalkan semula oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli seusai sesi dialog strategik pertama bersama yang diadakan dengan pemain industri.

“Kita akan mulakan semula Pemudah untuk permudahkan urusan industri. Ia akan dipengerusikan bersama oleh saya dan Ketua Setiausaha Negara agar kita dapat mempercepatkan usaha menjadikan Malaysia pasaran yang mesra perniagaan.

“Ia juga akan menyelaraskan persaingan. Platform sudah ada. Kita hanya perlu selaraskannya,” kata Rafizi di dalam sidang media yang dijalankan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Acara ini turut dihadiri oleh timbalan beliau, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Pengenalan Pemudah juga selaras dengan permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri.

“Berdasarkan sesi dialog, kebanyakan dari mereka tidak bergelut dengan keperluan infrastruktur atau kekangan kewangan sebaliknya berdepan masalah karenah birokrasi. Contohnya, proses yang panjang dalam pensijilan barang import runcit,” kata Rafizi.

Pemudah dimulakan buat kali pertama dalam tahun 2008 oleh pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dan diteruskan oleh Najib Razak.

Rafizi berharap pemain industri boleh menjadi pemangkin kepada revolusi perindustrian keempat sekiranya masalah seharian yang mereka hadapi ini boleh diselesaikan.

Menjawab soalan lain, Rafizi berkata bahawa kementeriannya sedang menimbangkan kaedah meningkatkan gaji rakyat.

“Sekiranya kita melangkaui gaji per kapita RM15,200 kita berada dalam kumpulan negara berpendapatan tinggi. Sekarang kadar pertumbuhan adalah di sekitar empat hingga lima peratus.

“Kita tidak mahu masuk kumpulan negara berpendapatan tinggi sedangkan jurang pendapatan rakyat lebar.”

BACA JUGA: Kadar inflasi Disember turun kepada 3.8 peratus – Rafizi