Pasukan SMART ke ground zero gempa bumi di Selatan Turkiye hari ini

Pasukan SMART, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dijangka ke kawasan ground zero kejadian gempa bumi di Selatan Turkiye hari ini.

NADMA dalam kenyataan pagi ini berkata terdapat kelewatan berikutan masalah kesesakan di Lapangan Terbang Adana yang merupakan pintu masuk ke ground zero.

“Pergerakan menggunakan jalan darat dari Adana ke Aziantep akan mengambil masa lebih kurang tiga jam.

“Semoga dipermudahkan perjalanan dan semua urusan team di sana,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Terdahulu NADMA berkata pasukan SMART telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 5.50 pagi waktu tempatan semalam.

“Team seterusnya diberikan taklimat sebelum berangkat ke Lapangan Terbang Adana bagi meneruskan perjalanan ke Gaziantep,” katanya.

Pasukan SMART memunggah peralatan yang dibawa bagi menjalankan misi SAR di kawasan ground zero gempa bumi di Selatan Turkiye sebaik tiba di Lapangan Terbangsa Adana pada 7 Februari 2023. Foto NADMA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook turut mengucapkan selamat bertugas kepada pasukan SMART yang dihantar untuk misi tersebut.

“Saya ucapkan selamat bertugas dan mendoakan usaha kalian dipermudahkan, InsyaAllah,” ujar beliau.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan berkata seramai 75 anggota pasukan SMART berlepas ke Turkiye menerusi penerbangan Turkish Airlines dengan membawa peralatan untuk misi mencari dan menyelamat (SAR).

Proses penghantaran pasukan tersebut mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan bantuan daripada kerajaan Turkiye.

Pasukan SMART menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa pada tahun 2016 yang membolehkan ia dihantar menyertai misi bencana di luar negara.

Gempa bumi bermagnitud 7.8 menggegarkan tengah Turkiye dan barat laut Syria menyebabkan lebih 500 orang maut serta ratusan lagi cedera awal pagi 6 Februari lalu.

Gegaran yang meranapkan puluhan bangunan turut dirasai di Cyprus dan Lebanon.

Malaysia telah menyertai misi menyelamat antarabangsa dalam tempoh 24 jam selepas tragedi tersebut berlaku.

Angka korban terbaharu akibat gempa bumi dahsyat Isnin lalu itu dilaporkan sudah mencecah hampir 8,000 orang.

Theguardian.com di Turkiye melaporkan seramai 5,894 orang disahkan terbunuh manakala 1,932 orang maut di Syria dengan jumlah keseluruhan 7,826 kematian.

Semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa jumlah korban boleh melebihi 20,000 orang.Keadaan cuaca sejuk dan bersalji turut menyukarkan operasi menyelamat.

BACA JUGA: Puluhan mangsa terkorban, gempa bumi 7.8 magnitud di selatan Turkiye dan Syria