Pecahkan monopoli untuk persaingan sihat

Dalam sistem pasaran bebas, monopoli memang tidak boleh. Ini kerana tujuan diwujudkan pasaran bebas adalah supaya terdapat ruang bagi sesiapa pun hendak berniaga.

Inilah kebebasan perniagaan dan kepelbagaian pilihan untuk pengguna dalam sistem pasaran. Kesannya ialah terdapat persaingan, yang dipercayai akan menyumbangkan kepada kecekapan perkhidmatan, atau pembaikan produk dengan penurunan harga yang akan nenguntungkan pengguna. Sebab itu, monopoli dan kartel adalah bercanggah dengan prinsip pasaran bebas

Negara ini mengamalkan sistem pasaran bebas sejak zaman kolonial dan seterusnya selepas merdeka. Namun begitu, pada zaman kolonial sistem ini dijejaskan oleh pihak penjajah yang mewujudkan monopoli dan kartel bagi menguntungkan pihaknya.

Ia juga membenarkan pihak-pihak tertentu untuk mengamalkan monopoli dan kartel kerana ia memudahkan kerja merdeka.

Selepas merdeka, keadaan ini juga berterusan, tetapi ia tentu dikawal oleh elit penguasa baik dalam politik mahupun perniagaan dalam bentuk monopoli dan kartel.

Walaupun ada banyak perubahan dengan pertumbuhan ekonomi negara yang pesat tetapi monopoli dan kartel diteruskan.

Kewujudannya sudah dianggap biasa dan seolah-olah dapat diterina oleh masyarakat. Maknanya ia merupakan sesuatu yang sudah menjadi sebahagian fakta dan realiti negara yang tidak dapat dibasmi.

Tetapi ia sebenarnya boleh diubah. Apabila diumumkan bahawa konsesi Touch and Go akan diteruskan setelah tamat tempohnya pada tahun 2024, dengan sistem pembayarannya juga dibuka pada pihak lain, maka ia membuka lembaran baharu kepada negara ini. Tiba-tiba rakyat dikejutkan bahawa selama ini terdapat monopoli dalam pelbagai bidang.

Kemudian kerajaan mengumumkan mengenai Puspakom. Barulah diingat kembali bahawa terdapat banyak monopoli di negara ini.

Semua monopoli ini boleh mengekang perkembangan perniagaan di negara ini. Ia menyebabkan pengguna tiada pilihan sedangkan kepelbagaian pilihan adalah kunci kepada kejayaan sistem pasaran bebas.

Usaha memecahkan monopoli dan kartel adalah selari dengan semangat reformasi, iaitu gerakan pembaharuan dalam negara. Ia juga selaras dengan semangat negara madani yang menghendaki warga negara menjadi jujur dan bersangka baik.

Amalan monopoli menjadikan masyarakat bersikap tidak jujur yang boleh membawa kepada korupsi, kolusi, kronisme dan nepotisme.

Cuba kembali kepada prinsip penubuhan negara ini. Sebelum merdeka, Malaya yang dipanggil oleh “dunia” sebagai British Malaya. Ia adalah “tanah jajahan” Britain yang dimasukkan ke dalam Empayar British.

“Dunia” pada masa itu, sebelum Perang Dunia Pertama dicorakkan atau lebih tepat lagi dicipta oleh Britain kerana empayar mereka adalah paling besar di dunia. Mereka memberikan nama benua, laut, rantau dan wilayah.

Oleh kerana ia adalah empayar terbesar, maka pihak lain terpaksa menurutinya. Maka mereka memanggil semenanjung ini British Malaya. Mereka juga mencipta undang-undang antarabangsa dan konsep negara naungan dan penempatan tetapi apa yang mereka lakukan, ia tetap merupakan penjajahan.

Imperialisme British ini adalah hasil daripada pemerintahan empayar. Kolonialisme adalah pemerintah yang mewujudkan pentadbir setempat. Maka asas kepada imperialisme dan kolonialisme ini adalah monopoli, baik dari segi perdagangan mahupun kekuasaan.

Di Malaya, monopoli oleh penjajah bermula dengan Portugis pada tahun 1511 untuk menguasai perdagangan rempah di Asia Tenggara. Ia berbahagi monopoli dengan Sepanyol.

Apabila Belanda datang, ia pula berbahagi monopoli dengan British. Monopoli inilah yang akhirnya menimbulkan Perang Dunia Kedua, kerana Jepun menolak monopoli dagang British.

Semangat perjuangan kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua Ialah Malaya mahu bebas berniaga dan berdagang. Ia berperang melawan komunis kerana sistem mereka tidak akan ada kebebasan berniaga. Ini kerana dalam sistem komunis, semua kegiatan ekonomi dimonopoli oleh kerajaan.

Akibatnya, tiada keusahawanan dan persaingan menyebabkan tiada pembaikan dalam perkhidmatan dan pengeluaran produk. Sementara itu sistem pasaran bebas pula melawan monopoli.

Pada awal kemerdekaan, pihak British masih mahukan monopoli dalam banyak perkara. Paling terkenal ialah British memberi tekanan pada Tunku Abdul Rahman supaya hanya syarikat British, ICI membekalkan baja untuk negara ini.

Inilah yang mendorong Menteri Pertanian ketika itu, Aziz Ishak melawan monopoli itu. Akibatnya beliau dipecat dari Kabinet dan keluar Umno untuk menjadi pembangkang.

Lambat-laun kerajaan dapat memecah monopoli British dalam pelbagai bidang. Bukan saja bekas penjajah, lain-lain monopoli dan kartel turut dipecahkan. Namun begitu, banyak lagi monopoli mencengkam negara.

Ada pula monopoli dipecahkan tetapi diganti dengan monopoli baharu. Ia tetap juga merupakan monopoli tetapi monopoli dan kartel melanggar prinsip anti-persaingan.

Maka ia salah di disi undang-undang. Lesen-lesen yang dihadkan pengeluarannya tanpa sebab yang profesional juga membawa kepada monopoli dan kartel.

Sememangnya, ada bidang yang hanya terdapat satu saja pemain yang mampu menceburkan diri. Maknanya bidang itu amat khusus. Maka sudah tentu pemain tunggal itu mendominasi pasaran.

Keadaan ini bukan monopoli kerana tidak ada pihak lain yang mampu menceburi bidang berkenaan. Cumanya tidak ada halangan bagi sesiapa untuk masuk bidang berkenaan.

Untuk memecahkan monopoli bukan suatu perkara yang senang walaupun kerajaan mempunyai banyak kuasa. Azam politik untuk usaha ini mesti tinggi. Ketinggian azam politik ini pula memerlukan sokongan rakyat dan orang ramai.

Ini kerana pihak yang memegang monopoli itu bukan saja mempunyai pengaruh yang kuat bukan saja dari segi kewangan tetapi juga politik. Sebab itulah, umumnya mereka memperoleh monopoli itu.

Dalam hal ini, seseorang perlu melihat realiti struktur masyarakat di mana-mana pun. Ia dikuasai oleh golongan elit yang mempunyai banyak wang dan harta, sama ada melalui kerjaya, perniagaan atau warisan. Mereka ini mempunyai pengaruh dalam politik, ekonomi dan sosial.

Orang kebanyakan yang merupakan majoriti tidak mempunyai pengaruh seperti mereka. Sememangnya banyak orang berusaha untuk menjadi sebahagian daripada golongan elit dengan pelbagai cara: perniagaan, kerjaya, politik dan lain-lain. Ada yang berjaya dan banyak yang gagal dan terus menjadi sebahagian daripada orang kebanyakan.

Pihak yang menguasai monopoli mestilah daripada kalangan golongan elit yang mempunyai pengaruh dan adalah menjadi kepentingan mereka supaya keadaan sedia ada dikekalkan.

Jadi, untuk memecah monopoli, ia mesti datang dari golongan elit juga yang komited untuk membuat pembaharuan supaya dunia perniagaan akan menjadi adil, untuk kepentingan keseluruhan rakyat dan negara. Untuk itu, ia sememangnya memerlukan azam politik.

Maka orang kebanyakan iaitu majoriti rakyat wajar memberi sokongan kepada kerajaan yang hendak memecahkan monopoli ini.

Sokongan rakyat akan menguatkan azam politik dan apabila proses memecahkan monopoli dapat dilakukan dengan meluas, rakyat akan dapat perkhidmatan dan produk yang lebih baik kerana suasana sudah menjadi lebih kompetitif.

Â