Pegawai khas TPM Ramesh Rao meninggal dunia

BELASUNGKAWA Pegawai khas hal ehwal kaum India di Pejabat Timbalan Perdana Menteri Ramesh Rao Krishnan Naidu meninggal dunia pagi tadi.

Beliau yang berusia 52 tahun dilantik ke jawatan di atas oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 24 Disember 2023. Mendiang hanya mengeluarkan satu kenyataan berkaitan pengawalan waktu penjualan arak dalam kapasiti jawatan yang disandangnya.

Dari sudut politik, mendiang merupakan penyokong tegar mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Mendiang juga aktif di dalam media sosial dan berciap di akaun Twitter @RameshRaoAKS.

Mendiang turut meminta maaf atas sebarang kekasaran yang dilontarkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran daripada penjajaran politik pasca pilihan raya umum ke-15

Selain media sosial, mendiang juga mengetuai sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) dan merupakan penasihat Kuil Sree Maha Kaliamman di Shah Alam, Selangor.

Ahmad Zahid telah mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang sebagai mewakili pejabat beliau dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.