PEJUANG mohon sertai PN, Mukhriz kata keputusan itu lebih untung

PEJUANG akhirnya memutuskan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dengan alasan tidak mahu berlaku perpecahan undi Melayu dalam pilihan raya akan datang.

Presidennya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata keputusan untuk membuat permohonan menyertai PN disepakati Majlis Eksekutif Pusat parti dua hari lalu.

Beliau berkata keputusan itu diambil selepas membuat penelitian dan penilaian semua opsyen gabungan kerjasama politik yang ada selain sesuai dengan mandat dari Perhimpunan Agung parti.

“Semalam saya telah mengutuskan sepucuk surat kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memohon agar PEJUANG diterima sebagai anggota parti komponen PN.

“Surat tersebut juga telah disalinkan kepada Presiden Pas dan Presiden Gerakan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Muhkriz beramah mesra dengan penduduk yang sedang bermain ‘carrom’ di Kuala Kerpan ketika kempen PRU-15 pada 18 November 2022. Foto FB Mukhriz Mahathir

Mukhriz berkata parti itu membuat keputusan bahawa adalah tidak memadai jika kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk tujuan mengelak daripada pertindihan kerusi, lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua-dua pihak.

“Lebih menguntungkan semua pihak jika PEJUANG menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN.

“Sudah tentu ini bermakna kesepakatan PEJUANG dengan PN tidak tidak terhad hanya kepada PRN yang bakal berlangsung Jun ini tetapi juga untuk jangka masa panjang,” katanya.

Mukhriz berharap kepimpinan PN akan mempertimbangkan permohonan PEJUANG dan memberi maklum balas positif.

PEJUANG ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga bekas Perdana Menteri pada Ogos 2020 sebelum beliau meletak jawatan sebagai Pengerusinya pada Disember tahun lalu.

Sebelum ini, perwakilan PEJUANG mengumumkan tarik diri daripada Gerakan Tanah Air (GTA) pada mesyuarat agung kedua parti itu, 14 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), GTA yang bertanding menggunakan logo PEJUANG gagal meraih sebarang kemenangan meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.

PEJUANG menerima tamparan hebat apabila Dr Mahathir sendiri gagal mempertahankan kerusi Parlimen apabila tewas dengan majoriti 13,518 undi malah hilang wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi.

Pada 10 Februari lalu, Dr Mahathir bersama 12 lagi pemimpin PEJUANG mengambil keputusan keluar parti yang Presidennya adalah anak lelakinya sendiri.

Keputusan PEJUANG memutuskan hubungan dengan GTA dianggap sebagai menyingkirkan Dr Mahathir daripada kekal sebagai ahli apabila mereka bertindak meneruskan perjuangan di atas landasan GTA.

Dr Mahathir semalam mengumumkan menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang diketuai Datuk Ibrahim Ali.

Putra merupakan salah satu parti utama dalam GTA yang menumpukan perjuangannya kepada orang Melayu.

Sebelum ini laporan menyebut Mukhriz mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar.

Namun Mahfuz menafikan terdapat pertemuan tersebut.

Mukhriz juga dilaporkan berunding dengan PN untuk membolehkannya bertanding mempertahankan kerusi DUN Jitra yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dengan majoriti lebih 10,000 undi.

Bagaimanapun, dalam PRU-15, Mukhriz gagal mempertahankan kerusi Parlimen Jerlun.

BACA JUGA: Pejuang dalam PH? Kena bincang dengan BN juga