
Pelajar tahfiz di konsert KFC anak pelarian Rohingya, kerajaan tak terlibat
Pelajar berjubah hijau dan berserban putih yang menghadiri konsert KEPCI Music Fest di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam adalah dari Madrasah Watahfiz al-Quran Rohingya TTDI Jaya, Selangor.
Pendedahan seorang individu, Andrie Ung Han Xiang itu susulan tular di media sosial rakaman video menunjukkan kelibat kumpulan pelajar terbabit.
Ramai tidak berpuas hati dan mempertikai kewajaran mengundang kumpulan pelajar terbabit dalam program hiburan itu.
Malah, pemimpin dan penyokong Pas dilihat mengambil kesempatan dengan menyerang Kerajaan Perpaduan termasuk mengaitkan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut, Andrie menerusi kenyataan hari ini berkata, penganjuran konsert itu adalah dari pihaknya sendiri untuk memberi peluang kepada anak yatim yang kurang berkemampuan untuk memeriahkan festival.
“Mereka adalah anak-anak pelarian Rohingya beragama Islam dan hampir tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa Melayu.
“Tujuan kami hanya ingin menghiburkan mereka kerana dalam Islam sendiri tidak membezakan sempadan dan status pendatang haram mereka.
“Kami juga mohon agar pihak berwajib dan mereka yang lebih Islam supaya lebih cakna akan kebajikan anak-anak ini daripada hanya tahu bercakap,” katanya.
Individu berkenaan juga memberitahu pihak KFC dan kerajaan tidak terlibat sama sekali dengan kehadiran pelajar tahfiz terbabit.
“Mereka juga tidak diberi sebarang makluman mengenai perkara tersebut,” katanya.
Menurutnya, festival yang mengumpulkan 700 anak yatim dari 22 rumah anak yatim di seluruh negara itu turut menyediakan pelbagai permainan kanak-kanak antaranya, ‘bouncing castle’.
BACA JUGA Kes rasuah kempen pilihan raya: RM40 juta akaun individu, syarikat judi dibeku