Pelaksanaan Akta Kerja 1955 beri kesan positif kepada pekerja

Pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 bermula kelmarin memberi banyak kesan positif kepada pekerja di Malaysia terutamanya penambahbaikan daripada sudut kebajikan.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, melalui pelaksanaan akta tersebut sepenuhnya, produktiviti serta kualiti kerja dapat dipertingkatkan di samping membantu pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, akta itu adalah bagi meningkatkan dan menambahbaik perlindungan dan kebajikan pekerja di negara ini serta memastikan peruntukan undang-undang perburuhan di negara ini selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Pelaksanaan akta ini meletakkan standard Akta Buruh di Malaysia selari dengan standard antarabangsa yang diiktiraf Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Maknanya, standard yang ada dalam negara kita selari dengan standard di peringkat antarabangsa,” dipetik dari Bernama TV.

Sementara itu, Mohd Effendy berkata, sejak akhir-akhir ini, banyak perjanjian bersama atau perjanjian perdagangan yang sudah memasukkan fasa berhubung standard minimum perburuhan sebagai salah satu syarat terma perjanjian yang perlu dipatuhi di negara ini.

Katanya, kesan pelaksanaan itu juga boleh dilihat kepada pekerja, majikan dan negara dengan kemasukan para pelabur ke Malaysia untuk melabur.

Selain itu, jelasnya, pelaksanaan Akta Kerja 1955 turut memberi peluang kepada pekerja golongan B40 untuk menambah pendapatan dan melindungi semua pekerja tanpa sekatan gaji oleh pihak majikan.

“Pekerja boleh membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja ataupun menghubungi MTUC sekiranya mendapati majikan melanggar Akta Kerja yang telah dikuatkuasakan ini,” tegasnya.

Sebelum ini, MTUC membantah keras penangguhan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang dijadual dilaksanakan pada 1 September tahun lalu oleh kerajaan terdahulu sebelum Kerajaan Perpaduan memutuskan untuk melaksanakannya mulai 1 Januari 2023.

Baca juga Keputusan tutup sekolah bergantung kepada nasihat KKM – Fadhlina