Pelbagai pendekatan untuk atasi kesesakan di jabatan kecemasan

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa sedang menangani masalah kesesakan di jabatan kecemasan dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mengatasi masalah kesesakan di jabatan kecemasan di hospital awam di seluruh Malaysia.

“Kita memperkasakan sistem lean health care yang mengurangkan kerja yang tiada nilai tambah. Ia juga memendekkan masa menunggu pesakit. Aktiviti lean health care bermula dari kaunter ke farmasi. Contoh perlaksanaannya boleh dilihat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (Bandar Kuching – PH) yang meminta rancangan Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan hospital di seluruh negara.

Selain itu Dr Zaliha menyatakan tentang pelaksanaan kemasukan pesakit ke wad untuk tempoh singkat selama 32 jam. untuk mendapatkan rawatan optimum.

“Ia melibatkan pengurusan katil dalam aliran berpusat melalui sistem Pusat Respon dan Kesediaan Krisis. Ia juga bertujuan mengurangkan waktu menunggu. Ini membolehkan pantauan ke atas kemasukan katil. Usaha ini dibuat dengan kerjasama penyumberluatan dengan sektor swasta.”

Menjawab soalan tambahan Dr Kelvin berkaitan dengan masalah ketidakcukupan anggota, Dr Zaliha memberi jaminan bahawa Kementerian Kesihatan meneruskan sesi libat urus dengan semua pihak yang terlibat.

“Kita akan terus adakan sesi libat urus. Saya akan berjumpa dengan ketua pengarah negeri pada 28 hari bulan ini. Masalah perjawatan bukan sahaja masalah Kementerian Kesihatan tapi juga Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.

“Kita boleh mengambil doktor tapi kalau tiada duit (peruntukan), susah. Setiap hospital ada isu berbeza.”