Pelbagai taktik majikan enggan laksana 45 jam kerja seminggu – MTUC

Penguatkuasaan Akta Kerja bermula 1 Jan 2023 yang memberi lebih banyak hak kepada pekerja, dan tertangguh pelaksanaannya pada 1 Sept 2022 lalu telah memberi kelegaan kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor, setelah beberapa hari akta tersebut dikuatkuasakan pelbagai aduan timbul berkenaan taktik yang dilakukan majikan untuk tidak mematuhi sepenuhnya pindaan Akta Kerja terbabit.

Katanya, terdapat majikan telah mengubah amalan syarikat dengan meminda terma-terma perkhidmatan tanpa mendapat persetujuan daripada pekerja terlebih dahulu, terutama mengenai tempoh jam bekerja.

“Sebelum pindaan akta kerja, majikan membayar upah bagi masa waktu rehat tetapi setelah pindaan di buat majikan tidak lagi membayar upah bagi masa waktu rehat.

“Majikan mengubah terma perkhidmatan ini supaya waktu kerja adalah 45 jam. Perlakuan majikan ini telah menyebabkan kemarahan pekerja kerana tempoh berada di syarikat tidak berubah.

“Tujuan pengurangan waktu kerja adalah memberi keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan (work life balance) kepada kaum pekerja. Pekerja sepatutnya boleh bersama keluarga dengan pengurangan waktu kerja tetapi malangnya majikan mengunakan cara lain untuk memaksa pekerja berada di syarikat dengan tempoh 48 jam,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Kamarul berkata MTUC berharap kerajaan memantau lebih teliti pelbagai lagi hak pekerja yang dijamin dalam Akta Kerja berkenaan seperti penambahan cuti bersalin, cuti paterniti, waktu kerja fleksibel dan banyak lagi agar diikuti sepenuhnya oleh majikan.

Untuk itu, katanya, MTUC mencadangkan agar kerajaan mengadakan pemeriksaan di tempat kerja bagi menjamin berlakunya pematuhan di pihak majikan.

“MTUC mengesa supaya Kementerian Sumber Manusia (KSM) membuat pemeriksaan ke atas semua Syarikat secara berkala supaya pindaan Akta Kerja ini memberi manafaat kepada kaum pekerja.

“Kementerian perlu bertindak tegas terhadap majikan sehingga perdakwaan perlu dilakukan,” katanya lagi.