Pelihara 108,000 hektar hutan simpan kekal, lanjut larangan pembalakan

Sultan Selangor menitahkan agar kawasan hutan simpan kekal di negeri ini yang berkeluasan 108,000 hektar terus dipelihara dengan mencadangkan tempoh dasar pembalakan ‘monitoring’ yang kini ditetapkan selama 25 tahun dapat dilanjutkan.

Sultan Sharafuddin bertitah langkah itu bagi membolehkan larangan sebarang aktiviti pembalakan di kawasan itu sejak tahun 2009 dilaksana dan penguatkuasaan yang lebih berkesan bagi mengelak pencerobohan hutan daripada berlaku.

Buku pelan induk pembangunan Taman Warisan Negeri Selangor 2023-2032

Baginda turut berkenan agar nama hutan simpan kekal di negeri ini dinamakan semula sebagai Hutan Warisan Diraja Negeri Selangor (Royal Selangor Heritage Forest) ketika dilancarkan secara rasmi pada bulan Ogos nanti.

“Baginda juga percaya, usaha Jabatan Perhutanan Negeri untuk mengekalkan kehijauan di hutan simpan kekal ini akan dapat turut dirasai oleh rakyat menerusi perancangan menyediakan laluan pendakian terkawal di beberapa lokasi,” kata Selangor Royal Office dalam kenyataan.

Terdahulu Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap Pengarah Perhutanan Selangor yang baharu Azhar Ahmad di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada Jumaat lalu.

Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Hadir sama pada pertemuan ini ialah bekas Pengarah Perhutanan Selangor Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid.

Baginda disembah maklum mengenai perkembangan terkini usaha pembangunan dan penggazetan kawasan rizab hutan simpan Taman Warisan Negeri Selangor menerusi Pelan Induk 2023-2032.

Kenyataan itu berkata baginda juga telah menitahkan agar Raja Muda Selangor yang memiliki ijazah dalam Ekologi dan Biologi Alam Sekitar untuk memantau rapat usaha-usaha mengekalkan persekitaran hijau di negeri Selangor dengan sasaran penanaman tidak kurang 11 juta pokok menjelang tahun 2026.

“Baginda turut berpandangan bahawa kerjasama antara Jabatan Perhutanan dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam usaha-usaha konservasi serta kajian berterusan akan membolehkan kawasan hutan simpan kekal ini dimanfaatkan ke arah memelihara warisan geologi, budaya dan biologi sebagai Geopark Kebangsaan yang ketujuh di Malaysia,” katanya.

BACA JUGA: Sultan Selangor zahir syukur, negeri catat prestasi kewangan tertinggi 2022