
Pembangkang mainkan isu beras, telur untuk timbulkan keraguan rakyat
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menegaskan bahawa isu beras dan telur yang dimainkan pembangkang adalah untuk menimbulkan keraguan rakyat, sekaligus menggambarkan kerajaan tidak mampu menanganinya.
Sebaliknya beliau menegaskan, Kerajaan Perpaduan kini sedang menangani isu-isu yang dimainkan mereka.
“Saya nampak sasaran itu untuk menimbulkan keraguan kepada rakyat bahawa kerajaan ini tidak mampu dan sebagainya.
“Itu yang diulang-ulang cerita ayam, telur, beras dan harga minyak. Isu itu memang ada dan perkara sebegitu memang dekat di hati rakyat. Bila mainkan isu tersebut, memang rakyat akan terkesan.
“Tetapi isu-isu itu sebenarnya memang dalam usaha kerajaan untuk menanganinya. Isu telur pun dah selesai, beras pula hampir selesai tapi masih juga ditimbulkan,” katanya dalam rancangan bual bicara bersama Khalid Samad di Jom Channel, malam tadi.
Rancangan tersebut bertajuk ‘Bicara Ahli Parlimen dan Mantan Ahli Parlimen Shah Alam – Prestasi PN sebagai Pembangkang’.
Menurut Azli lagi, pihak kerajaan sudah mempunyai rancangan untuk meningkatkan hasil beras, bagaimanapun beliau melihat pembangkang masih lagi memainkan isu berkenaan.
“Contohnya, kita sudah ada rancangan bagaimana untuk meningkatkan hasil beras. Dalam interim itu, kita sudah dapatkan India untuk salur semula (bekalan beras), tapi mereka masih teruskan (isu) itu kata beras tak ada di pasaran dan sebagainya.
“Sasarannya adalah nak memberitahu bahawa menteri gagal, kerajaan gagal,” ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor.
Pada 18 Oktober lalu, kerajaan India telah meluluskan eksport 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara.
“Keputusan oleh kerajaan India mencerminkan hubungan rapat antara India dan Malaysia serta selaras dengan dasar berterusan India untuk menyokong usaha kerajaan negara-negara sahabat dalam memelihara keterjaminan makanan domestik.
“Keputusan untuk membenarkan peruntukan khas beras putih ke Malaysia telah dimaklumkan oleh Menteri Luar India, Dr S Jaishankar kepada Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melalui panggilan telefon pada hari yang sama,” menurut Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur.