Pemuda Amanah Terengganu selar himpunan Himpit Pas

Pemuda Amanah Terengganu menolak keras sebarang tindakan provokasi yang boleh mengancam keharmonian kaum di Malaysia.

Hal ini berikutan tindakan Pemuda Pas negeri itu yang dalam Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) semalam menganjurkan perarakan ala tentera abad pertengahan lengkap bersenjata pedang serta tombak tiruan.

Ketua Pemuda AMANAH negeri, Zamir Ghazali berkata perarakan Pemuda Pas seperti itu adalah sesuatu yang ‘di luar jangka’.

“Sebelum ini anjuran perhimpunan Pas negeri dibuat adalah perkara biasa.

“Cumanya, program (kali ini ada) perarakan ala perang yang dibawa dalam perhimpunan tersebut dan tidak pernah dibuat sebelum ini,” ujarnya ketika dihubungi Harapan Daily.

Zamir Ghazali

Mengulas lanjut, Zamir menegur Pas agar membawa imej yang sederhana sebagaimana dituntut Islam, bukannya imej keras dan mengundang kekeliruan masyarakat seperti itu.

“Pada saya simbol-simbol (pakaian tentera dan senjata) bukan satu justifikasi yang tepat untuk kita tonjolkan syiar Islam.

“Sebab imej seperti ini (pakaian tentera dan senjata) akan menimbulkan salah faham yang besar terhadap agama kita,” katanya lagi.

Susulan daripada itu, Zamir menegaskan pihak perlu mengambil tindakan terhadap perkara seumpama itu agar ianya tidak berulang pada masa hadapan.

“Kerajaan sewajarnya mengambil tindakan supaya aktiviti seperti ini tidak diberi perhatian (oleh anak muda),” katanya lagi.

BACA LAGI AMK optimis PH-BN dominasi PRN Negeri Sembilan