Pemuda Umno diseru terus fokus perkasa sinergi

Pemuda Umno diseru terus fokus perkasa sinergi

Pemuda Umno diseru untuk terus fokus ke arah memperkasakan sinergi golongan itu di seluruh negara demi mencapai matlamat yang satu, iaitu agar Umno kembali bertaut di hati anak-anak muda.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam menghadapi dinamik politik citra Malaysia pada masa kini, pemuda mempunyai tanggungjawab yang besar.

“Pemuda mempunyai tanggungjawab seperti menyumbangkan idea, mengerahkan tenaga dan mengetengahkan perspektif yang segar serta berganding bahu bersama kepimpinan dalam berdepan situasi politik citra Malaysia pada masa sekarang.

“Marilah bersama-sama kita merapatkan barisan, menghuraikan perbezaan secara bermusyawarah dan bersulam kematangan minda.

“Semoga semangat kebersamaan dan kerja keras terus berkobar. Teruslah berperanan memberikan inspirasi dan solusi.

“Kekallah memainkan peranan dalam memastikan kestabilan politik dan sosial di negara ini. Jadilah agen yang menjadi penghubung antara rakyat dan parti keramat ini,” tulis beliau dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menulis demikian sempena sambutan ulang tahun ke-74 Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang jatuh pada hari ini.

Dalam hantaran sama katanya, 26 Ogos diraikan dengan penuh keinsafan bahawa Pergerakan Pemuda Umno telah memetakan perjalanan perjuangan yang panjang dengan penuh dedikasi, iltizam dan nilai pengorbanan.

“Sebagai seorang pemimpin yang lahir daripada kilang Pemuda, saya memahami bahawa Umno akan terus bernyala obornya jika dapat digembelingkan kekuatan generasi baharu dan kepimpinan yang sedia ada.

“Selamat menyambut hari ulang tahun ke-74 Pergerakan Pemuda Umno Malaysia,” ucap Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

COMMENTS

Wordpress (0)