Penambahbaikan akses internet jadikan Malaysia negara ekonomi utama

Akses internet yang lebih baik bakal diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan akan melonjakkan ekonomi negara.

Hal itu dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil pada program Bual Konti terbitan RTM malam tadi yang yakin akan berlaku ‘lonjakan kuantum’ daripada sektor ekonomi digital negara.

Penambahbaikan akses internet juga katanya akan memperbaiki kesenjangan sosioekonomi rakyat di bandar dan luar bandar.

“Penting untuk kita pastikan perkara asas akses kepada ekonomi digital ditambah baik, internet kena laju dan pakej internet juga perlu murah.

“Kita sedang pastikan perkara itu dan ada perkara perlu negotiate sikit lagi…sebelum itu prabayar dan selepas ini insyaAllah ada sesuatu untuk fixed line broadband pula,” katanya.

Pada Disember lalu, Fahmi mengumumkan Pelan Data Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga dua kali ganda lebih murah iaitu RM5 sebulan dan tiga kali lebih pantas, yang akan berada di pasaran Februari ini.

Pengenalan pakej itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup serta memastikan kesalinghubungan digital yang menyeluruh kepada rakyat Malaysia.

Beliau juga sebelum ini mengulas isu gangguan capaian internet yang berlaku di kampus universiti dan mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan laporan lengkap berkaitan isu itu untuk diteliti.

Menteri KKD itu dalam program malam tadi yakin pengembangan ekonomi digital mampu mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi di rantau ini.

BACA JUGA LPF: Treler filem ‘Pulau’ berbeza daripada bahan penapisan