Bila kerajaan bertukar, bantuan pula mudah diperolehi

Pertukaran kerajaan pusat kepada Kerajaan Perpaduan telah memudahkan bantuan diberikan kepada golongan yang memerlukan, kata penduduk taman perumahan awam di Kuala Lumpur.

Oleh itu, rata-rata masyarakat Tionghua di sekitar Bandar Tun Razak berasa terharu dengan sumbangan yang diberikan kerajaan kepada mereka menjelang Tahun Baru Cina yang akan diraikan tidak berapa lama lagi ini.

Kebanyakan yang ditemui semasa program Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Medan Selera Perumahan Awam, Bandar Tun Razak melahirkan rasa gembira dengan apa yang berlaku.

Salah seorang penerima sumbangan, See Wan Chan, 74, berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian sumbangan wang tunai menjelang perayaan itu di Parlimen Bandar Tun Razak.

“Saya sangat gembira dengan pemberian ini. Saya sudah tua, selama ini anak-anak bagi duit pada saya.

“Ini kira angpau, banyak terima kasih pada YB. Kalau tahun depan ada lagi bagus,” katanya ketika ditemui Harapan Daily.

Sementara itu, penduduk Flat Seri Johor, Cham Lian Yew, 48, (gambar atas) turut menyatakan kesyukuran di atas pemberian sumbangan ini.

“Saya banyak-banyak bersyukur atas pemberian angpau, sebelum ini saya tak dapat bantuan.

“Jadi, saya banyak happy tahun ini dapat angpau dari YB,” ujarnya merujuk kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, yang buat pertama kali mewakili penduduk Bandar Tun Razak selepas menang dalam pilihan raya umum lalu.

Wan Azizah yang juga isteri Perdana Menteri turun menemui mereka menjelang sambutan Tahun baru Cina.

Wan Azizah ketika merasmikan majlis penyampaian sumbangan Tahun Baharu Cina Komuniti Kuala Lumpur 2023.
BEN CHOY…. Teruja dengan Kerajaan Perpaduan

Rasa teruja sejak Kerajaan Perpaduan mendapat mandat di Putrajaya juga dikongsikan penghuni Flat Seri Pulau Pinang, Ben Choy, 49.

Dia mengakui bahawa banyak bantuan diterimanya sejak pentadbiran kerajaan baharu diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan tukar jadi banyak bantuan dapat. Sebelum ini susah mahu dapat,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina 2023 kepada seramai 100 penduduk Tionghua di Perumahan Awam Sri Sabah.

Mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tinggal di tengah-tengah kota raya itu menerima agihan bantuan wang tunai, biskut raya dan set makanan.

Baca juga Wan Azizah serah sumbangan pada komuniti Tionghua