
Pengambilan jururawat terlatih warga asing dibenarkan dengan kriteria tertentu
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa telah mengumumkan pelonggaran kriteria pengambilan jururawat terlatih warga asing (JTWA) di pusat kesihatan swasta.
Ini adalah ekoran daripada kekurangan jururawat dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan.
Dr Zaliha menyatakan bahawa jururawat asing boleh diambil dengan syarat-syarat tertentu.
Berikut adalah syarat-syarat tersebut:
1.JTWA perlu menduduki ujian Peperiksaan Kelayakan Lembaga Jururawat Malaysia untuk Jururawat Latihan Asing yang
dikendalikan Lembaga Jururawat Malaysia.
2. Pengambilan JTWA sah bagi tempoh 12 bulan sahaja iaitu mulai 1 Oktober 2023 sehingga 30 September 2024 dan pelanjutan perkhidmatan dibenarkan selama 12 bulan mengikut kelulusan Perakuan Pengamalan Sementara (TPC) JTWA.
Perkara ini akan dinilai semula berdasarkan keadaan dan keperluan semasa.
3. Bilangan JTWA di setiap fasiliti kesihatan swasta tidak boleh melebihi 40 peratus daripada jumlah jururawat di fasiliti tersebut.
4. Pengambilan JTWA juga hendaklah mematuhi kepada terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri, termasuk perincian gaji dan tempoh kontrak.
Dr Zaliha menambah bahawa langkah ini akan dituruti dengan pengambilan tetap graduan Diploma Kejururawatan dari universiti tempatan dan swasta bagi tahun 2024 dan 2025.
“Langkah ini diambil untuk mengisi keperluan jururawat di fasiliti KKM dan akan memastikan peluang pekerjaan jururawat tempatan terpelihara.”