Pengampunan Najib: Pas menangguk di air keruh?

Adakah Pas cuba menangguk di air keruh dengan menyatakan sokongan kepada usaha mendapatkan pengampunan untuk mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dari Lembaga Pengampunan?

Menurut penganalisis politik Malaysia dari University of Tasmania, Australia, ia bukan begitu.

“Sebab yang diberikannya sangat bodoh. Pandangannya adalah sistem undang-undang Malaysia tidak Islamik. Ini menunjukkan Pas tidak menghormati undang-undang,” kata Profesor James Chin.

“Mereka hanya mahukan negara Islam. PAS tidak akan dapat mengambil kesempatan kerana ramai ahli Pas yang percaya bahawa Najib bersalah,” tambah beliau.

Beliau berkata begitu ketika mengulas kenyataan Yang Dipertua Pas Subang Zaharuddin Muhammad yang juga adalah menantu presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Zaharuddin dilaporkan berkata pengampunan kepada Najib adalah jalan terbaik dalam perspektif Islam.

“Tersalah melepaskan orang yang bersalah adalah lebih baik daripada tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.

“Jadi, antara mengekalkan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam penjara dan juga membebaskan dengan pengampunan, maka membebaskan dengan pengampunan adalah lebih dekat dengan kaedah Islam,” katanya pada satu hantaran video di media sosial.

Pandangannya telah dikritik dengan meluas oleh warga maya.

Umno dan Pas mula rapat ketika pentadbiran Najib.

Kedua-dua parti ini telah bersama membentuk kerajaan seusai Langkah Sheraton di bawah pentadbiran mantan perdana menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Selepas pilihan raya umum ke 15, Barisan yang diketuai oleh Umno menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pas pula bersama dengan Parti Pribumi Bumiputera Malaysia membentuk blok Perikatan Nasional.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah kerana menyeleweng dana bernilai RM42 juta dari SRC International.

Chin turut mengulas berkenaan pengumuman ahli parlimen Arau Datuk Shahidan Kassim yang mahu membantu mencipta gelombang di Selangor.

Bekas menteri persekutuan tersebut kini bersama Pas telah menafikan bahawa beliau akan bertanding.

“Itu hanya seruan satu kumpulan di Selangor. Motif mereka hanyalah untuk menafikan majoriti dua per tiga. Kemenangan di dalam politik Malaysia hanya diiktiraf sekiranya sesebuah parti atau pakatan menang majoriti dua per tiga.”

Selangor dan Pulau Pinang merupakan kerajaan yang dimenangi oleh Pakatan Harapan dengan majoriti dua pertiga.

Kedua-dua negeri ini akan menyaksikan pilihan raya negeri bersekali dengan Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada tahun ini.