Pengampunan Najib di bawah kuasa Agong

Sesiapa sahaja boleh memohon pengampunan diraja tetapi keputusan muktamad untuk memberikan pengampunan terletak pada Yang di-Pertuan Agong, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata ini memandangkan pendengaran permohonan pengampunan perlu melalui proses yang sewajarnya, manakala keputusan akhir akan ditentukan oleh Agong.

Katanya, rayuan yang dibuat oleh Umno kepada Agong bagi mendapatkan pengampunan penuh terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan kerana setiap pihak mempunyai hak untuk memfailkan pengampunan.

Anwar pada majlis pelancaran Kita Untuk Kita (K2K) di PPR Kampung Baru Hicom, Jalan Bukit Belimbing pagi tadi.

“Walaupun proses (pengampunan) perlu diikuti dan saya akan berada dalam proses itu, namun akhirnya, seperti yang kita tahu, soal pemberian gelaran kehormat dan soal pengampunan adalah atas budi bicara Agong.

“Oleh itu, tidak ada keperluan untuk kita membahaskan perkara itu secara terbuka kerana proses ini mesti dipatuhi,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Kita Untuk Kita (K2K) di PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam Selangor, hari ini.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, adalah terlalu awal untuk mengulas permohonan pengampunan Najib memandangkan baru semalam Umno berbuat demikian.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pengampunan penuh untuk Najib.

Pada masa yang sama, Anwar turut mengesahkan beliau adalah sebahagian daripada individu yang terlibat dalam proses pengampunan Najib namun menjamin, tidak akan berlaku sebarang konflik kepentingan.

BACA JUGA Kerajaan takkan campur tangan dengan keputusan mahkamah