Pengasingan peranan Peguam Negara, pendakwa raya ditangguhkan

Pengasingan peranan Peguam Negara dan pendakwa raya telah ditangguhkan oleh Kabinet kerana melibatkan implikasi kewangan dan perundangan yang besar serta kajian yang mendalam perlu dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Jun 2022 telah bersetuju dengan syor Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-rasuah (JKKMAR) supaya Kertas Pertimbangan berkaitan Hasil Kajian Pengasingan Kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara ditangguhkan kerana perkara ini melibatkan implikasi kewangan dan perundangan yang besar serta kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata demikian di dalam jawapan bertulis kepada M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat).

Jabatan tersebut turut memberikan taklimat mengenai perkara ini kepada pada 7 Disember 2022.

Kerajaan pula membuat perincian Kertas Jemaah Menteri termasuk kesesuaian perkara ini dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.