Penggunaan kad debit dan kredit menamatkan monopoli Touch ‘n Go

Pelaksanaan penggunaan kad debit dan kredit untuk pembayaran tol di beberapa lebuhraya utama akan menamatkan monopoli syarikat Touch ‘n Go.

Ketua Pemuda Parti AMANAH Negara Wilayah Persekutuan Asmaaliff Abdul Adam berpendapat, ketiadaan monopoli akan mewujudkan persaingan sihat dan meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk pengguna.

“Kalau dimonopoli satu pihak sahaja, mereka akan selesa dengan apa yang ada. Apabila ada aduan, barulah mereka nak bertindak dan sebagainya.

“Tetapi apabila tiada monopoli, masing-masing akan cuba memperbaiki dan menaik taraf serta memperkenalkan perkhidmatan atau infrastruktur yang terbaik, sekali gus memudahkan pengguna,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai isu berkenaan selepas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem tersebut selewat-lewatnya September ini.

Mengulas lanjut Asmaaliff berkata, jika seseorang itu menggunakan kaedah pembayaran Touch ‘n Go dan pada masa sama baki pula tidak mencukupi, maka pengguna terpaksa turun daripada kereta untuk menambah nilai.

“Biasanya kalau guna kad kredit atau debit, mereka sudah ada baki mencukupi dalam kad tersebut, tetapi kalau guna Touch ‘n Go dan baki pula tidak cukup, kita sendiri boleh nampak mereka terpaksa turun kenderaan dan beratur.

“Pendapat saya, situasi untuk menambah nilai baki kad yang tidak mencukupi itu, membahayakan pengguna, malah ada had masa ditetapkan untuk menambah nilai di laluan tol.

“Contohnya selepas jam 10 malam, pengguna sudah tidak boleh tambah nilai di laluan tol walaupun ada pekerja di dalamnya. Bagi saya keadaan itu menyusahkan masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch ‘n Go yang hanya dijual di beberapa premis, turut menyusahkan pengguna yang berada di luar Kuala Lumpur.

Susulan pelaksanaan pembayaran tol menggunakan kad debit atau kredit itu, beliau mencadangkan agar pihak berkaitan menambah baik alat pengesan di laluan tol agar palang segera dibuka, sekali gus melancarkan perjalanan.

Pada 21 Mac, Alexander memaklumkan lebuh raya yang terlibat dengan kaedah tersebut adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) serta Jambatan Pulau Pinang.

Sistem pembayaran terbuka itu adalah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang sedang giat diusahakan dan pelaksanaan sepenuhnya akan dijalankan secara berfasa selewat-lewatnya suku ketiga 2024.

“Melalui pelaksanaan MLFF, sistem pembayaran terbuka akan dilaksanakan bagi kutipan tol untuk semua lebuh raya di Malaysia, dan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-dompet turut serta, seterusnya tiada lagi monopoli oleh Touch ‘n Go,” kata Alexander.

Ini bermakna selain menggunakan Touch ‘n Go, pengguna juga dibenarkan membayar tol di lebuh raya menggunakan kad debit atau kredit mereka.