
Hadis 40 Imam Nawawi: Berlapang dada, hormati inisiatif kerajaan – ABIM
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru semua pihak berlapang dada dan menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai murni masyarakat negara ini.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata, modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang diumum Kementerian Pendidikan (KPM) amat bertepatan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara.
Menurutnya, modul yang diterapkan dalam lingkungan pelajar beragama Islam sahaja itu dapat memupuk amalan kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda muslim khususnya.
Beliau berkata, hadis 40 yang dikumpulkan Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis yang sahih.
Jelasnya, ia sekali gus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.

Faisal Abdul Aziz
“Dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi ini secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi yang akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun depan.
Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, ABIM juga menegaskan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan tidak hanya bersifat ritual.
Sebaliknya katanya, tafsiran kepada peruntukan Perlembagaan itu adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna Muslim di Malaysia.
“Kedudukan Perkara 3 ini sudah pun diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman di Mahkamah Persekutuan.
“Sebagai contoh dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan dua yang lain pada 2007.
“Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai: .”..bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman,” kata Muhammad Faisal lagi.
BACA JUGA Bekas mufti pun kata tak salah PM Anwar mengislamkan saudara baharu