Pengundi 18 paling sukar dijangka dalam PRU15

Dengan pertambahan jumlah pengundi muda berusia 18 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, pola pengundian kelompok ini diakui sukar dijangka terutama berhubung ‘kecenderungan’ terhadap parti politik.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, pengundi muda berusia 18 tahun termasuk dalam kelompok yang sangat rapuh.

Ini kerana kata Hisomuddin, dapatan kajian daripada beberapa pusat penyelidikan sebelum PRU15, kecenderungan anak muda bergantung pada populariti individu.

Kesimpulan itu diperkukuhkan lagi apabila sosok bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diangkat sebagai ikon anak muda.

Atas populariti yang besar, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kemudiannya ditubuhkan dan dijangka mampu mencuri sokongan anak muda.

Menjelang pilihan raya, pereka grafik satira, Fahmi Redza pula menjadi ikon anak muda di Twitter. Dia dilihat aktif menggerakkan kempen kampus ke kampus, dan membuat kelas demokrasi walaupun dihalau dan disekat.

Dalam tempoh berkempen, kelas demokrasi Fahmi Redza menjalankan satu ‘polling’ untuk melihat pola pengundian mahasiswa.

Menerusi undian itu, Pakatan Harapan (PH) antara parti yang menjadi pilihan.

Bagaimanapun menurut Hisomuddin, dalam kajian yang dijalankan menggunakan kaedah ‘Focus Group Discussion’ (FGD), pihaknya mendapati majoriti sembilan daripada 10 anak muda masih dipengaruhi pilihan ibu bapa dalam mengundi calon bertanding.

FGD adalah satu kaedah yang digunakan para penganalisa lapangan dengan cara mengumpulkan beberapa individu menjadi satu kumpulan dan membahas sesuatu topik tertentu yang spesifik. Umumnya, pemerhati akan mengambil satu kesimpulan dari topik yang telah dibincangkan.

“Dalam pertemuan dengan anak muda di kampus dan kampung, kami dapati kelompok ini majoritinya 9 daripada 10 orang, hampir semua tidak ada pemahaman politik yang betul-betul jelas dan faham.

“Bagaimana mereka mengundi? Majoriti mengatakan bahawa dipengaruhi oleh pilihan ibu bapa kerana masih lagi dibiaya dan mendapat duit dari ibu bapa,” katanya.

Mengulas tentang calon perdana menteri yang menjadi pilihan anak muda, mereka didapati lebih memilih sosok ‘Abah’ yang merujuk kepada Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Ilham Centre membuat kesimpulan, pemikiran sebegitu terbentuk kerana ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu, ‘Abah’ antara individu yang hadir dalam maklumat pemikiran mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menjadi individu yang tidak popular dalam kelompok anak muda.

“Ini kerana mereka tak ada momen penting dengan Anwar dalam garis hidup mereka.

“Tapi bagi anak muda, Abah beri pengaruh besar kepada perjalanan hidup mereka,” jelasnya lagi.

Baca juga Tiada akta khas penyebab kempen ekstremis berleluasa