Pengundi muda ada sikap tentukan sendiri pilihan politik mereka

Pengundi muda ada sikap tentukan sendiri pilihan politik mereka

Golongan pengundi muda di negara ini dikenal pasti mempunyaI satu sikap iaitu, menentukan sendiri sikap politik mereka tanpa dipengaruhi oleh ibu bapa.

Penganalisis politik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Muqit Muhammad berkata, dapatan itu diperoleh hasil daripada kaji selidik yang dijalankannya.

“Cuma ada satu sikap menarik untuk saya bangkitkan iaitu sikap ‘mendiri’ pengundi muda ini. Apabila kita buat kaji selidik, mereka sebenarnya sudah ada satu sikap iaitu menentukan sendiri sikap politik mereka.

Dr Abdul Muqit Muhammad

“Mereka menganggap bahawa pengundian yang dilakukannya itu bukan lagi dipengaruhi oleh faktor ibu bapa, tetapi mereka mengundi atas faktor pilihan mereka sendiri.

“Jadi biasanya, kalau kita mengkaji tingkah laku politik pengundi ini daripada aspek sosiologi, identifikasi parti dan pilihan nasional, sebenarnya pengundi muda menganggap sokongan yang diberikannya itu adalah pilihan rasional mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 bertajuk ‘PRN 6 Negeri: Apa Telah Terjadi’ di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), hari ini.

Lebih 50 peratus pengundi muda daripada jumlah lebih 9.7 juta pemilih di enam negeri yang melaksanakan PRN, 12 Ogos lalu.

Menurut Abdul Muqit lagi, perbincangan mengenai pengundi muda sebenarnya banyak dibangkitkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ia selepas kita melihat satu gelombang besar daripada pengundi muda sehingga menjatuhkan dominasi politik daripada Umno.

“Cuma di peringkat penyelidik dan ahli akademik, sebenarnya pengundi muda ini kita telah bincangkan sebelum pelaksanaan undi 18.

“Ketika itu, kita sudah pun tertanya-tanya apakah motivasi, dinamik dan dorongan utama pengundi muda ini sebab banyak pandangan yang simplistik dalam memahami golongan berkenaan.

“Kalau kita jumpa kepada pemimpin atau NGO anak muda, mereka menganggap dengan semakin ramai pengundi muda, maka politik Malaysia akan berubah jadi lebih terbuka dan progesif, tetapi selepas PRU15, kita dapat lihat pandangan sebegitu tidak lagi berasas,” ujarnya lagi.

BACA JUGA Keputusan PRN Selangor: Unjuran Parlimen

COMMENTS

Wordpress (0)