Pengusaha Taska pohon bantuan ekoran skim gaji minima

Pengusaha Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) yang beroperasi di negara ini memohon bantuan kerajaan untuk membolehkan mereka memberikan khidmat terbaik selepas kerajaan melaksanakan skim gaji minima.

Dalam satu memorandum yang disampaikan oleh Persatuan Taska Perak kepada wakil kerajaan, bantuan itu sangat perlu untuk membantu mereka memberikan khidmat ekoran dari gaji minima yang mereka perlu laksanakan.

Mereka memohon kerajaan agar memberikan subsidi makanan, kos perkhidmatan dan gaji pekerja berkemahiran yang terpaksa mereka tanggung selama ini.

Mereka juga memohon kerajaan mempertimbangkan geran kepada semua Taska sebagaimana yang diberikan oleh kerajaan ketika Covid-19 melanda negara sebelum ini.

“Dalam keadaan negara menuju ke era baru melalui pembentukan kerajaan perpaduan yang lebih prihatin dan cakna tentang keperluan rakyat, adalah amat dialu-alukan sekiranya pihak kerajaan memandang serius perkhidmatan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia, terutama yang dijalankan oleh pihak swasta,” kata Puan Aziah Mohd Shah Baki, Pengerusi Persatuan Taska Perak.

Kami kini tersepit antara gaji minima yang kami kena bayar kepada guru dan kakitangan dengan tekanan agar kami tidak naikkan kadar yuran, kata Aziah, Pengerusi Persatuan Taska Perak.

Katanya, ia bertujuan memastikan kos sara hidup rakyat adalah seimbang dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar sekarang.

“Kami kini tersepit antara gaji minima yang kami kena bayar kepada guru dan kakitangan dengan tekanan agar kami tidak naikkan kadar yuran.

“Bila kami naikkan yuran, ibu bapa akan mengeluarkan anak-anak mereka dan menghantar kepada pengasuh yang tidak terlatih.

“Jika ini berlaku, lagi bahaya,” kata beliau kepada Harapandaily.

Sehubungan itu, katanya, adalah wajar bantuan kerajaan disalurkan kepada sektor-sektor penting seperti Taska untuk memastikan kelestarian dan kelangsungan hidup rakyat akan terjamin.

“Kami sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan hidup anak-anak Malaysia menyeru pihak kerajaan untuk terus membantu dan menyokong usaha-usaha yang sedang kami lakukan, demi memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia,” katanya.

Persatuan Taska Perak telah menghantar memorandum itu pada 1 Februari lepas.

JUGA Peruntukan untuk pembangkang tidak dinafikan, rundinglah dengan kerajaan