Peningkatan tahap kebersihan untuk jadikan Selayang bertaraf bandaraya

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) fokus untuk mempertingkatkan tahap kebersihan bandar Selayang supaya ia boleh menjadi bandaraya menjelang tahun 2030.

“MPS yakin mampu untuk mencapai status bandaraya menjelang 2030 dengan menjadikan Selayang sebagai sebuah bandar bersih,” kata Yang Dipertua MPS, Datuk Mohd Yazid Sairi selepas mesyuarat Majlis Perbandaran Selayang pertama tahun ini di bangunan MPS hari ini.

“Kebersihan itu adalah satu komponen yang sangat penting sekiranya hendak tonjolkan perkhidmatan perbandaran kita kepada masyarakat.

Beliau turut memberitahu dua faktor yang menyebabkan MPS menumpukan perhatian kepada aspek kebersihan. Faktor pertama merujuk kepada harapan penduduk Selayang semakin tinggi sekali gus menuntut perkhidmatan MPS yang lebih cekap dan proaktif.

Faktor kedua ialah Selayang terletak di Selangor – negeri termaju di Malaysia dengan pelbagai aktiviti perniagaan dan perdagangan.

Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu berganding dalam menjaga kebersihan kerana kebersihan tidak boleh dijaga oleh pihak majlis semata-mata.

“Jika kita semua bersama berganding bahu, saya percaya aspirasi untuk menjadikan Selayang sebuah bandaraya berdaya huni, selamat dan bersih dapat dicapai,” katanya.

Beliau mendakwa bahawa sikap segelintir peniaga, pengilang dan pemain industri yang tidak mengambil berat soal kebersihan menyumbang kepada bandar Selayang menjadi kotor.

Persediaan sempena Thaipusam

Dalam perkembangan berkaitan, Yazid turut mengumumkan bahawa MPS memperuntukkan RM150,000 untuk kerja pembersihan bersempena dengan perayaan Thaipusam yang akan disambut pada 5 Februari di Batu Caves.

Beliau menjangkakan sambutan tahun ini akan menyaksikan peningkatan pengunjung yang meningkat berbanding dengan sambutan beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Peruntukan sebanyak RM150,000 adalah khusus untuk kerja-kerja pembersihan sampah sepanjang perayaan itu diadakan. Sebanyak sepuluh unit tong sampah Roll On Roll Off (RoR0) dan 50 unit tong sampah akan ditempatkan di kawasan titik panas bagi mengawal kebersihan sepanjang perayaan tersebut,” kata beliau.

Selain itu, beliau memberitahu media bahawa MPS telahpun bermesyuarat dengan agensi penguatkuasa lain dan pihak berkepentingan lain termasuk pihak jawatankuasa kuil untuk memastikan kelancaran perayaan tersebut.

“Seramai 160 anggota penguatkuasa MPS turut akan bekerjasama dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Beliau juga berkata hanya bahawa jualan makanan berasaskan sayur-sayuran dibenarkan di sekitar kuil di Batu Caves pada hujung minggu ini. Peraturan ini ekoran dari kontroversi pemberian burger daging oleh sebuah syarikat pada tahun lalu.

Penjualan minuman keras di sekitar kuil tersebut juga diharamkan.