Penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak berlaku di Johor – Zahid

Penubuhan Kerajaan Perpaduan seperti yang berlaku di Melaka, tidak mungkin berlaku di negeri lain termasuk Johor.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan termasuk di Johor.

“Mengapa perlu ada kebimbangan? Sebenarnya apa yang berlaku di Melaka tidak kena mengena dengan situasi negeri lain.

“Jadi, suasana politik di negeri lain mungkin berbeza dengan apa yang berlaku di Melaka,” dipetik BH.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Sungai Gersik, di Muar, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, spekulasi berkenaan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor itu tidak baik untuk kestabilan politik di peringkat nasional, apatah lagi negeri.

“Saya harap tiada sebarang spekulasi yang wujud sebab yang penting adalah kestabilan politik bukan sahaja di peringkat nasional tetapi kita yakin kestabilan juga perlu diwujudkan di setiap negeri

“Apa yang penting rakyat mengharapkan kestabilan ini akan membawa pelaburan daripada luar. Kestabilan juga membawa peluang ekonomi atas dasar kepercayaan untuk peniaga secara domestik atau luar negeri,” katanya lagi.