Penyokong ‘Abah’ sanggup ambil MC, redah perjalanan lebih 300km

Seorang penyokong Tan Sri Mahiaddin Md Yasin sanggup mengambil sijil cuti sakit (MC) gara-gara mahu bersolidariti untuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkenaan yang dihadapkan ke mahkamah hari ini.

Azwa, 40, dari Tebrau, Johor berkata, dia dan rombongan dari negeri paling selatan di Semenanjung itu sudah tiba di Kuala Lumpur sejak malam tadi.

Seawal jam 7 pagi tadi pula,  dia bersama dua lagi bas penyokong Presiden Bersatu itu sudah mula bergerak ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

“Hari ini, saya tidak bekerja. Cuti. Sanggup ambil cuti.

“Dari semalam sudah ada di sini (KL). Pukul 7 pagi kami dah gerak ke mahkamah. Kami datang dengan dua bas ke sini,” kata penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu ketika ditemui Harapan Daily sebentar tadi.

Azwa antara ratusan penyokong ‘Abah’ yang hadir di perkarangan mahkamah di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya mengapa sanggup meredah perjalanan lebih 300km ke ibu negara, katanya, dia tahu sifat Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu.

“Kita nak Abah ‘bersih’ (daripada salah guna kuasa). Kita tahu Abah macam mana.

“Isu ini (pendakwaan) tidak patut timbul. Rakyat susah dengan banjir. Isu itu yang harus ditumpukan, bukannya seret Abah ke mahkamah,” tegasnya yang memakai kain lilit kepala dengan tanda pagar AbahTabah.

Setakat jam 10 pagi tadi, penyokong Mahiaddin masih berkumpul di tempat letak kereta di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Mahiaddin, 76, berdepan enam pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan kesalahan pengubahan wang haram kesemuanya berjumlah RM427.5 juta.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah selepas dibacakan pertuduhan membabitkan empat kes untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram berjumlah RM195 juta.

BACA JUGA Enam pertuduhan, RM427.5 juta: ‘Abah’ mengaku tidak bersalah