Penyokong Pas saja lebih-lebih, penghantar makanan pun akui silap

Penyokong Pas saja lebih-lebih, penghantar makanan pun akui silap

Penyokong Pas malah ada pemimpin parti itu dilihat memberi reaksi berlebihan berhubung isu penghantar makanan yang motosikalnya disita dalam sekatan jalan raya kelmarin.

Mereka ‘melatah’ dan mengambil kesempatan dengan mengecam pihak berkuasa sebagai tidak bertimbang rasa sehingga tahap mewujudkan sentimen kebencian mengatasi undang-undang.

Walhal, tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Nilai, Negeri Sembilan itu bagi menjaga keselamatan penunggang berkenaan dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaitkan tindakan tegas pihak berwajib itu sebagai “nak cari duit melalui denda dan saman”.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri tersebut berkata, jika mahu sangat bagi susah dan payah kepada penunggang motorsikal, carilah mat rempit yang ‘meniarap’ di atas motor berlumba di jalan raya.

“Kalau nak tahan dan saman cari duit, tahanlah orang kaya dan super kaya, boleh cam daripada jenis motor dan kereta yang mereka pakai.

“Orang yang naik motor kapcai pi kerja cari makan ni kebanyakannya orang susah, tentu ada kelemahan atau salah silap di sana sini, pada motor atau pada penunggangnya.

“Kalau gagah dok cari salah tu tentulah menambah kesusahan, bukan membantu,” kata Sanusi semalam menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, warganet menyifatkan sikap penyokong dan pemimpin Pas saja yang lebih-lebih memandangkan penunggang motosikal berkenaan, Muhammad Shahrul Shah Abu Bakar pun mengakui kesilapan sendiri.

Shahrul, 26, mengakui tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans menyebabkan motosikalnya disita dalam operasi JPJ.

“Saya akui memang salah saya, jadi terima saja hukuman, malah anggap apa yang berlaku sebagai pengajaran.

“Saya akur, tak melawan malah beri kerjasama dengan serahkan kunci serta motosikal kepada pihak berkuasa untuk disita,” katanya.

Kisah bapa dua anak itu yang dilihat diambil kesempatan penyokong Pas selepas tular rakaman video 17 saat berjalan sambil menggalas beg makanan selepas motosikalnya disita JPJ.

Dalam masa sama, Shahrul turut menafikan dakwaan beliau berjalan sejauh 4km tanpa arah selepas motosikalnya disita kerana sudah meminta bantuan rakan mengambilnya di satu lokasi.

“Itu semua tak benar kerana saya tak berjalan sejauh itu dan ketika kejadian, saya dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.

“Tapi mungkin ada yang buat penilaian berdasarkan gambar dan video tular,” kata Shahrul lagi.

BACA JUGA Memahami ideologi agama Pas

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )