
Perang budaya PH kikis ideologi Pas
Oleh FATHI ARIS OMAR
Tanggapan paling silap: Anggap Pas itu parti politik dan ia boleh ditewaskan melalui pilihan raya.
Musuhnya lupa, Pas itu membudaya, sebagai satu institusi sosial sejak puluhan tahun. Pas serang dan takluk fikiran masyarakat. Ia tidak suruh mengundi saja!
Pas bukan sahaja (a) parti politik tetapi (b) jemaah Islam terilham dari Ikhwanul Muslim yang (c) berkembang di kampung dalam (d) perseteruan tajam dengan Umno (e) selama lebih 40 tahun.
Masalah orang Pakatan Harapan (PH), mereka tidak faham maksud (a), (b), (c), (d) dan (e) ini.
Kita ambil (d) dahulu. Di puncak kuasanya, Umno ini kawal total fikiran Melayu luar bandar melalui media, subsidi, Kemas, JKKK, balai raya, Rukun Tetangga, persatuan belia, guru, AJK masjid, PIBG dan kontrak kelas bawah.
Untuk lawan, Pas bina markaz, buka Pasti, latih ustaz muda, kuasai masjid dan surau, sebar ideologi Islam baharu (baca: “haraki”), kuasai badan siswa, dekati mat motor, buka SRI, tarik profesional muda, menyusup dalam jabatan agama dan birokrat.
Dengan meletakkan orangnya di banyak sektor dan sebaran ideologi, Pas mencapai tujuan mengepung, memasung fikiran masyarakat bawah agama versi “haraki” jemaah Pas. Selama 40 tahun, ideologi ini tandingi Umno. Ideologi ini sedang menuju totalisasi.
Ideologi macam “suis”, Pas petik semuanya menyala di dalam kotak undi. Jadi, tidak hairan polis, askar, birokrat, B40, kelas menengah, mat rempit, suri rumah dan segelintir elit “bersama” Pas. Mereka tidak sertai parti, mereka anuti ideologi tanpa sedar.
Gelombang hijau”, kepungan TikTok, sebahagian dampak ideologi. Orang PH tercengang dan hairan jika gagal fahami (a) hingga (e) di atas.
Sebab itu, Pas bukan parti politik. Fahami Pas sebagai institusi budaya yang meresap senyap-senyap, menyusup bersama ideologi.
Jadi, PH harus bermula di sini: “perang budaya”, sasarkan fikiran dan psikologi massa dengan mencabar, kikis ideologi Pas dalam semua sektor.
Bina institusi ideologi PH yang mampu mengakar dalam masyarakat. Jika lompong, Pas berkuasa mutlak. Bahaya!
Tapi jangan silap. Ideologi Pas bukan kitab, bukan media, bukan kuliah sahaja. Ideologi ini membiak daripada “institusi” yang tumbuh semula jadi, organik, dalam masyarakat atas keperluan masyarakat. Akibat ideologi, mereka memeluk dengan rela, macam ia muncul sejak azali.
Perkara ini tidak sukar difahami dan dilawan. Tapi kita kena fahami betul-betul dasar, sejarah dan rangkaian fakta (a) hingga (e).
Selepas itu, baru boleh tandingi ideologi Pas. Kerjanya banyak dan perlu tekal. Perlu stamina. Kempen PH 4 tahun bukan jawapannya!
Nak lawan pas kita kena kembali kepada sunnah nabi dan Khulafa Rasyidin. Pas sebenar nya tidak mengamalkan sunnah nabi dan sunnah para sahabat . Pandai cakap sahaja Qur’an hadis ijmak ulamak dan kias . Ulamak mereka siapa???? Ulamak duit . Zuhud warak tak ada dalam pas .inilah nadi dan RUH Islam yang sebenar .