Perarakan bawa replika pedang, tombak tindakan provokasi – PKR Terengganu

PKR Terengganu menyelar Pemuda Pas yang menganjurkan perarakan “bersenjata” pedang dan tombak  dan menganggap ia sebagai tindakan provokasi.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Terengganu Azan Ismail berkata perbuatan itu bukanlah tradisi atau budaya Islam.

“Momokan dengan cara begitu (berpakaian tentera dan bersenjata) bukanlah cara untuk menonjolkan imej Islam.

“Perkara ini hanya menjurus kepada ekstremis sekali gus ia akan mendatangkan salah faham dan kekeliruan terhadap agama,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) yang dianjurkan di Setiu pada Jumaat lalu.

Azan yang juga bekas ahli Parlimen Indera Mahkota menyeru Kerajaan Perpaduan melalui pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi memastikan seperti itu tidak berlaku lagi.

“Saya saran kerajaan perlu buat satu ‘task force’ untuk membalas sebarang provokasi dan fitnah yang cuba mengancam keharmonian masyarakat.

“Jawatankuasa yang ditubuhkan ini juga mesti bertindak lebih awal bukan hanya menjawab tuduhan melalui media sosial sahaja,” ujarnya yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Terengganu,

Terdahulu, Harapan Daily melaporkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu akan membawa isu perhimpunan Himpit ini dalam mesyuarat Kabinet bagi mengambil tindakan lanjut kerana dibimbangi boleh mengancam keharmonian negara.

BACA JUGA KDN beri amaran, perarakan replika senjata timbul kegusaran awam – Menteri