‘Pergi beritahu Sanusi jangan main-main dengan Pulau Pinang’

Isu negeri Pulau Pinang menjadi topik panas yang dibahaskan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng hari ini.

Dalam sesi sidang Dewan Rakyat petang ini, beliau dengan lantang memberitahu pembangkang agar disampaikan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Sanusi Md Noor supaya tidak sewenang-wenangnya mempertikai kedaulatan negeri Pulau Pinang.

Beliau juga menyuruh Sanusi membaca semula Perlembagaan Persekutuan yang jelas termaktub bahawa Pulau Pinang adalah negeri berdaulat.

“Kalau tak percaya tengoklah Perlembagaan Persekutuan, termaktub di sini. Negeri Pulau Pinang adalah negeri berdaulat. Beritahu Sanusi jangan main-main dengan Pulau Pinang.

“Atas pentas dan undang-undang apa Sanusi boleh meragui kedaulatan negeri Pulau Pinang? Beliau bukan pakar undang-undang.

“Seharusnya, beliau mendapatkan nasihat daripada pakar perundangan sebelum membuka mulut menyerang kedaulatan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Guan Eng merujuk kepada video yang tular di TikTok awal Februari ini, di mana Sanusi mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang dengan mengatakan bahawa “negeri itu dipajak dari Kedah”.

“Yang saya saya ragui tentang kedaulatan ialah Pulau Pinang kerana negeri itu dipajak dari Kedah,” dakwanya dalam video itu.

Sementara itu, Guan Eng menyindir Sanusi yang begitu yakin mahu menawan Pulau Pinang selepas mendakwa negeri itu tidak berdaulat.

Beliau dengan tegas meminta Sanusi menarik balik tuduhan liar yang dilemparkan terhadap Pulau Pinang.

“Tuduhan dia saya rasa dah melampau, tidak bertanggungjawab. Saya harap rakan-rakan di sini minta beliau tarik balik tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab. Jangan main-main dengan Pulau Pinang. Jangan pertikaikan negeri ini,” katanya lagi.

BACA JUGA Sanusi, move on lah, kata Amanah kepada MB Kedah