Perikatan Nasional seperti orang ‘kelemasan’, berpaut pada apa saja

Perikatan Nasional (PN) disifatkan seperti orang sedang kelemasan yang sanggup berpaut kepada apa saja yang ada, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Hasnul Baharuddin.

Beliau berkata sikap pemimpin PN Selangor itu terserlah apabila sanggup menggunakan isu kontrak kepada Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd (LLB) bagi projek Selangor Maritime Gateway (SMG) pada tahun 2018 untuk memburukkan kepimpinan negeri.

Katanya isu itu cuba digunakan sebagai percubaan PN yang kemaruk kuasa bagi memburukkan reputasi kerajaan negeri ketika ini memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin hampir.

“Tidak hairan dalam keadaan sekarang untuk menghadapi PRN, mereka (PN) akan menggunakan apa sahaja untuk menyerang walaupun fakta itu songsang atau tidak betul.

“PN Selangor seperti orang lemas, mereka akan terus berpaut dengan apa sahaja yang boleh dipaut. Apa juga isu kecil mereka (PN) akan cuba untuk perbesarkan dengan apa juga isu yang boleh dikaitkan hatta sampai memfitnah pun boleh,” katanya kepada Harapan Daily hari ini.

Hasnul yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor berkata sebagaimana dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN telah menggunakan pelbagai cara dan kaedah untuk memenangi pilihan raya seperti memutar belit, memfitnah dan berbohong.

Beliau menjelaskan penganugerahan projek kepada LLB yang merupakan syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor di bawah Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI Selangor) telah melalui proses yang panjang.

“Tempoh selama lapan bulan telah dibuka kepada syarikat-syarikat yang berwibawa tetapi tiada syarikat yang sanggup dan bersesuaian untuk melaksanakan projek ini.

“Namun, akhirnya syarikat LLB telah dilantik, pelantikan ini sudah tentu mengambil kira rekod dan perancangan yang baik dengan bertujuan untuk melaksanakan kerja pembangunan dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Terdahulu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi di dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd (LLB), malah kedudukannya dalam syarikat itu bertujuan mewakili kerajaan negeri.

Amirudin juga menjelaskan kedudukan beliau dan Exco Selangor, Izham Hashim dalam Lembaga Pengarah LLB juga seharusnya tidak menimbulkan sebarang isu berikutan peranannya adalah bagi mewakili kepentingan MBI dan kerajaan negeri.

BACA JUGA: MB, Exco tiada kepentingan dalam Landasan Lumayan, itu syarikat kerajaan negeri