“Perjuangan saya bukan nak jadi calon pilihan raya” – Wan Mahussin

Pempengaruh Wan Mahussin Wan Zain menepis dakwaan kelantangannya membangkitkan isu-isu membabitkan kerajaan Kelantan kerana ingin menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Malah, menurutnya pembabitan beliau dalam pendedahan notis salinan milik syarikat air kerajaan negeri adalah untuk kepentingan rakyat Kelantan.

“Perjuangan bukan berkiblatkan saya menjadi YB kerana bagi saya mengejar jawatan semata-mata dilihat tidak membawa roh rakyat yang sebenar,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Namun Wan Mahussin tidak menolak dengan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mampu merealisasikan hasrat dan dasar yang baik untuk rakyat di negeri Pantai Timur itu.

Selain itu, anak jati Kelantan tersebut turut mengakui risiko yang terpaksa dihadapinya berkait dengan pendedahan yang dibuat di negeri kubu kuat Pas tersebut.

Bagaimanapun, jelasnya sejak dia semakin berani membangkitkan isu, ramai pihak yang berkesudian untuk berkongsi maklumat membantu membuat pendedahan.

“Kalau ikut pada risiko saya perlu berhadapan dengan tekanan sebab di Kelantan fanatiknya (penyokong Pas) sangat ekstrem. Ia sudah pasti mendatangkan pelbagai risiko termasuklah saya dan keluarga.

“Namun sejak saya mula berani untuk bersuara rupa-rupanya ramai yang dahulunya berdiam diri kini cuba berkongsi maklumat kepada saya,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Wan Mahussin dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas pada 24 Mei lalu berkenaan dengan laporan yang dibuat oleh pimpinan Pas negeri berhubung pendedahan satu notis salinan.

Notis itu antara lain memaklumkan syarikat Air Kelantan Sdn.Bhd (AKSB) meluluskan sagu hati sebanyak RM10,000 kepada semua ahli lembaga pengarah syarikat itu manakala RM200 bagi setiap kakitangan syarikat itu.

Dalam pada itu, Wan Mahussin turut berkongsikan butiran jumlah tunggakan bil utiliti Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebanyak RM35 juta yang gagal dilangsaikan oleh syarikat air negeri sejak Julai tahun lalu.