
Perkukuh naratif Islam, kita tiada masa yang mewah
Oleh SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Tidak dapat dinafikan naratif Islam buat sekian kali menjadi teras kepada kecenderungan para pengundi Islam memilih parti mereka.
Naratif Islam yang dimaksudkan ialah penceritaan, penonjolan imej dan pelataran Islam dalam konteks pemerintahan dan komitmen kepimpinan dilihat memartabatkan Islam.
Memang ironi, sejak sekian lama Perlembagaan negara sudah pun memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi, peruntukan pentadbiran Islam yang besar dan dasar Islam progresif yang diperkenalkan, tetapi kita masih memerlukan naratif Islam.
Biar ditegaskan di sini bahawa naratif ini soal penceritaan, penonjolan imej dan pergelutan antara fikrah untuk menentukan siapa yang lebih meyakinkan membawa Islam dalam konteks pemerintahan.
Peruntukan kewangan bukan isunya, syiar masjid dan lain-lain bukan isunya. Isunya adalah pergelutan di medan fikrah, siapa lebih meyakinkan dan pertembungan antara radikalisme politik Islam dan pencairan (tamyi’e) Islam dalam pemerintahan di mana pemerintah terhimpit antara kedua aliran ini.
Menyedari realiti ini, dasar pemerintahan untuk tangani isu sebenarnya perlu digerakkan dan diketengahkan untuk tujuan nararif di atas.
Usaha sekitar tahun 2018 hingga 2020 telah pun dimulakan oleh Menteri Agama ketika itu dengan Gagasan Negara RAHMAH yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan kabinet pada tahun 2019.
Tujuannya adalah jelas untuk berhadapan dalam gelanggang pergelutan fikrah dan penyebaran ide Islam yang berteraskan Rahmatan Lil Alamin (RLA).
Namun, terhenti dengan Langkah Sheraton. Semua perancangan telah tersedia rapi sampai ke akar umbi dengan bajet 2020 diperuntukkan sekitar 10 juta untuk tujuan memperkenalkan RLA kepada rakyat.
Alhamdulillah, kini 2023 kita ada Malaysia Madani, medan yang sangat subur untuk berpencak menggagaskan naratif Islam.
Pengalaman mengagaskan RLA boleh membantu untuk berhadapan dengan realiti hari ini dalam Kerajaan Perpaduan Madani.
Mempunyai satu dasar naratif Islam tidak cukup tetapi lebih utama ialah menerapkannya kepada setiap agensi dalam setiap perancangan mereka dan program2 merakyatkan Madani.
Agensi kerajaan teras yang perlu menggerakkan dasar Madani dalam naratif Islam ialah JAKIM.
Jakim punya infra yang boleh menggerakkan jentera pentadbiran Islam Persekutuan dengan syarat PMX perlu tegas dalam mengarahkan pelaksanaannya melalui menteri yang bertanggungjawab.
Ada 14 agensi di bawah Menteri Agama yang perlu menumpukan menjayakan agenda Madani secara berperancangan.
Amat merugikan apabila Pentadbiran Islam Persekutuan seolah menjadi kaku semacam terpasung kaki dan tangannya untuk bersikap proaktif menjayakan dasar Madani.
Semasa dasar RLA, semua agensi Islam Persekutuan perlu memenuhi sasaran kerja RLA untuk menilai pencapaian mereka.
Bahagian Dasar Jakim bertanggungjawab menyediakan keperluan kertas dan perancangan setahun program dan aktiviti untuk dilaksanakan oleh agensi-agensi.
Waktu itu Menteri bertanggungjawab menstrukturkan Jakim dengan membesarkan unit Maqasid kepada Jabatan Maqasid dengan penambahan staf. Media Jakim, Forum Perdana, TV Hijrah dan Radio IKIM sebagai medium media perlu dikerahkan sepertimana RLA pernah diketengahkan.
Townhall Maqasid antara produk Jabatan Maqasid yang membuka peluang untuk menyampaikan ide-ide Islamik Madani diantara kementerian seperti yang pernah dibuat dalam RLA.
Begitu juga idea Madani perlu dibawa ke pentadbiran Islam negeri melalui rundingan dengan Paduka Tuanku Sultan di negeri masing-masing.
Ada mekanisme Mesyuarat Majlis Islam Negeri dan Persekutuan dipengerusikan oleh Menteri Agama. Cara ini Madani akan jadi jambatan antaran pentadbiran Islam Persektuan dan Negeri.
Walaupun masjid-masjid adalah di bawah kuasa negeri kecuali Wilayah Persekutuan, saya telah perkenalkan Masjid R.A.H.M.AH iaitu Masjid bercirikan Ramah, Aman, Harmoni, Alami dan Hormat bagi mengelak masjid menjadi medan sebaran Islam politik dan fahaman radikal.
Konsep Masjid R.A.H.M.A.H perlu diteruskan khusus di negeri bawah PH-BN dan perlu menjadi tanda aras melalui program dan pemantauan.
Kita perlu membina kekuatan penyampai idea Madani yang Islamik melalui Duta Madani, semasa RLA, program pentauliahan Duta Rahmah diadakan di mana partisipasi terdiri daripada para asatizah, selebriti, penceramah bebas dan ahli akademik.
Malangnya, semua terhenti pada Februari 2020. Duta Madani perlu diaktifkan semula melalui pengalaman Duta Rahmah.
Selain itu, pihak universiti perlu dilibatkan dengan pemberian geran akademik untuk kajian Madani, kerusi Madani dan aktiviti pelajar berteraskan Siswa Madani seperti Siswa Rahmah yang pernah dilancarkan. Kemuncak dialog Siswa Rahmah di seluruh IPTA/I di mana akan diwujudkan Majlis Kepimpinan Siswa Rahmah.
Semasa RLA, diperkenalkan MyInsaniah iaitu modul untuk kepimpinan sekolah-sekolah, boleh diperkukuhkan dengan penjenamaan semula MyMadani.
Dengan ini, naratif Islam dalam konteks dasar pemerintahan telah diperkenalkan sejak di bangku sekolah lagi.
Semua program Madani perlu dipertanggungjawabkan kepada satu agensi yang perlu bergerak merentas agensi. Terpulang kepada PMX untuk secara serius menginstitusikan Malaysia Madani dan menggerakkannya ke akar umbi.
Pengalaman RLA walaupun hanya 22 bulan tetapi tapak dan asas telah pun dilancarkan, PMX hanya perlu menyambung, memperbaiki dan menetapkan keutamaan naratif Islam Madani selain ekonomi dan sara hidup. Kita tidak punya masa yang mewah!
*SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Naib Presiden AMANAH merangkap Pengerusi Nadwah Ulamak (NUNJI).