Pertahankan Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan negara

Mungkin banyak orang akan merasakan ungkapan “perpaduan” dan “kestabilan” hanya retorik, iaitu kata-kata yang besar dan diulang-ulang hingga hilang ertinya.

Ia juga merupakan kata-kata yang sering diulang-ulang dan digunakan oleh hampir semua parti politik yang bertentangan di antara satu sama lain tetapi membawa maksud yang bercanggah dari segi tindakan.

Oleh sebab ia sudah menjadi retorik, maka perkataan-perkataan ini kurang diambil berat atau peduli oleh ramai orang.

Bagi warga emas umpamanya, perkataan-perkataan ini sering didengar sepanjang hayatnya hingga ia sudah tidak lagi menarik. Bagi generasi muda pula, ia merupakan perkataan-perkataan lama yang tidak membawa erti.

Bagi kebanyakan orang pula, “perpaduan” dan “kestabilan” dipandang dengan sinis serta menganggapnya sebagai perkataan-perkataan yang hanya digunakan oleh ahli-ahli politik, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Namun, secara realiti, “perpaduan” dan “kestabilan” yang walaupun retorik membawa konsep penting untuk negara. Ia bukan sekadar nama kerajaan atau laungan slogan tetapi membawa amanah penuh makna bagi rakyat.

Kerajaan Perpaduan telah ditubuhkan hampir dua bulan lalu dan sedang berfungsi serta beroperasi dalam suasana stabil. Asalnya apa yang dimaksudkan ialah kerajaan yang disertai oleh semua parti politik.

Namun, oleh sebab ada gabungan parti yang menolak untuk menyertainya, maka ia tetap dipanggil sebagai Kerajaan Perpaduan kerana dianggotai oleh kebanyakan gabungan parti yang berada di Dewan Rakyat.

Tetapi nama Kerajaan Perpaduan ini membawa semangat bukan saja kesepakatan gabungan parti yang menyertainya tetapi juga penyatuan seluruh rakyat Malaysia dalam menjayakan matlamat dan aspirasi negara.

Kepelbagaian fikiran

Ungkapan “matlamat dan aspirasi negara” ini juga perkataan-perkataan besar berupa retorik yang perlu diperjelaskan semula sebagai ingatan pada rakyat. Untuk mencapai matlamat dan aspirasi negara, ia perlukan kestabilan. Demi kestabilan, maka Kerajaan Perpaduan mesti dipertahankan.

Tentulah tidak semua rakyat Malaysia menyokong Kerajaan Perpaduan dan polisi, tindakan serta inisiatifnya. Dalam banyak tindakannya, tentulah ada yang tidak disokong dan tidak disetuju, walaupun di kalangan pendukung Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

Manusia mempunyai kepelbagaian fikiran dan pendapat. Demokrasi merupakan fahaman untuk menyelaraskan kepelbagaian pendapat ini supaya negara dapat berfungsi dengan lancar, dan lebih utamanya lagi ialah mewujudkan kestabilan dan mengelak pertelingkahan berpanjangan yang sia-sia.

Ada kalangan rakyat Malaysia yang menentang Kerajaan Perpaduan tetapi mungkin mendapati bahawa polisi, tindakan dan inisiatifnya merupakan sesuatu yang baik.

Apa yang penting ialah mempertahankan Kerajaan Perpaduan supaya ia dapat menjalankan kerja-kerjanya seperti mana apa yang telah diamanahkan hingga tamat tempoh penggal.

Ini kerana Kerajaan Perpaduan ini berdiri di atas mandat rakyat. Maka mandat rakyat mestilah dihormati supaya sistem politik demokrasi dapat terus terlaksana dengan negara berada dalam keadaan stabil.

Konsep mandat rakyat ini pun perlu sering diperjelaskan dan diperingatkan untuk ia sentiasa dihormati, juga demi kestabilan negara.

Jika tidak, akan ada orang terutamanya ahli politik dengan sokongan pengikut-pengikutnya melanggar mandat rakyat, yang menjadikan proses demokrasi tidak bererti.

Dalam sistem demokrasi, amanah rakyat hanya dapat dizahirkan melalui pilihan raya umum (PRU) lima tahun sekali. Jarak lima tahun ini membolehkan kerajaan yang memperoleh mandat rakyat berkhidmat bagi pentadbiran negara.

Selepas lima tahun, rakyat diberi semula peluang untuk menentukan kerajaan baharu. Inilah keindahan sistem demokrasi. Tetapi ahli politik dan rakyat yang tidak menghormati mandat rakyat akan merosakkan sistem ini.

Etika demokrasi 

Dalam PRU lalu, Kerajaan Perpaduan belum wujud. Tidak ada gabungan parti Perpaduan dan tidak ada pengundi memilih Kerajaan Perpaduan. Bagi pengundi Pakatan Harapan (PH), mereka mengharapkan penubuhan Kerajaan PH.

Bagi pengundi Barisan Nasional (BN) pula tentulah mereka mengharapkan penubuhan Kerajaan BN. Begitu jugalah dengan pengundi Perikatan Nasional (PN) yang mengharapkan penubuhan Kerajaan PN.

Setiap pengundi memberikan mandat dalam bentuk sokongan kepada calon dan gabungannya. Calon dan gabungan partinya tidak boleh berpisah. Sebab itu, sebarang tindakan lompat parti oleh ahli Parlimen semasa dalam penggal adalah suatu yang tidak bermoral dan melanggar etika demokrasi.

Sepatutnya, tidak perlu undang-undang anti-lompat kerana sememangnya difahami bahawa melompat parti semasa penggal sedang berjalan adalah mengkhianati mandat rakyat.

Oleh kerana ada ahli politik negara ini tidak berpegang kepada fahaman ini, maka sebab itu undang-undang ini diperlukan.

Keputusan PRU-15 lalu menunjukkan bahawa mandat rakyat yang diberikan adalah kepada PH sebagai gabungan yang meraih kerusi terbanyak. Maka PH diundang oleh Istana Negara untuk membentuk kerajaan.

Boleh saja PH membentuk kerajaan minoriti. Tetapi kerajaan minoriti akan menemui kesukaran mentadbir kerana dalam Parlimen, dengan segala cadangannya pula boleh ditolak dengan mudah. Maka kerajaan majoriti adalah lebih baik.

Gabungan PH dan BN sudah cukup membentuk kerajaan yang memperoleh mandat rakyat, iaitu gabungan antara mandat PH dan BN. Namun harapan Istana Negara supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk adalah lebih baik bagi mengurangkan politiking dan memantapkan kestabilan.

Tindakan PN yang enggan menyertai Kerajaan Perpaduan adalah hak mereka. Malaysia bukannya sebuah negara diktator yang boleh memaksa mana-mana parti menyertai kerajaan.

Penubuhan Kerajaan Perpaduan tidak dilakukan secara paksaan, ugutan, pujukan atau suapan. Ia penuh dengan rundingan, musyawarah, kompromi, janji dan tolak ansur bukan saja antara PH dengan BN tetapi juga dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Ia merupakan usaha perpaduan bukan saja di Semenanjung tetapi juga Sarawak dan Sabah.

Ia juga bermakna PH yang perjuangannya berasaskan kepada Reformasi perlu bertoleransi dan berkompromi dengan perjuangan BN, GPS dan GRS.

Kalau PH memerintah sendiri, bolehlah ia melaksanakan manifestonya secara penuh. Tetapi ini adalah Kerajaan Perpaduan PH-BN-GPS-GRS, maka tentulah kesepakatan baharu perlu dibina.

“Perpaduan” itu adalah asas negara ini. Dalam Jata Negara tertera cogan kata “Bersekutu Bertambah Mutu”. Ia pada mulanya cogan kata Persekutuan Tanah Melayu.

“Bersekutu” yang juga dikaitkan dengan “Persekutuan” sebagai bentuk negara adalah seruan terhadap kebaikan perpaduan antara negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat. Selepas Malaysia ditubuhkan, ia bersekutu dengan Sarawak dan Sabah.

Tetapi dalam bahasa Inggeris, cogan katanya ialah “Unity is Strength” atau “Perpaduan adalah Kekuatan”. Semasa awal kemerdekaan, perpaduan negara merujuk pada perpaduan kaum Melayu, Cina dan India. Selepas penubuhan Malaysia, perpaduan meliputi juga kaum-kaum di Sarawak dan Sabah.

Maka Kerajaan Perpaduan ini adalah pelaksanaan semangat perpaduan negara dengan PH dan BN di Semenanjung dan GPS di Sarawak dan GRS di Sabah yang menggabungkan semua kaum di seluruh negara.

Dengan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan, barulah ada kestabilan. Pilihan raya, mandat rakyat dan proses penubuhan kerajaan mesti dihormati.

Pemerhatian dan fokus sekarang adalah untuk memenuhi pelaksanaan fungsi dan operasi pentadbiran dan pemerintahan negara. Ia tidak wajar diganggu dengan politiking antara parti yang hanya wajar berlaku lima tahun akan datang apabila menjelang penggal berakhir.

Walaupun kini ada negeri-negeri yang akan menghadapi pilihan raya negeri, tetapi biarlah kegiatan politiknya hanya berkait dengan negeri berkenaan, dan tidak menjejaskan kerajaan persekutuan. Kestabilan negara perlu dipertahankan untuk kebaikan semua rakyat.

 

*ZIN MAHMUD ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia dengan pengalaman sebagai wartawan lebih tiga dekad.