Pesawah, nelayan dapat Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 10 April ini

Golongan pesawah dan nelayan yang layak bakal menerima Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri secara sekali beri (one-off) sebanyak RM200 seorang pada 10 April ini.

Bayaran kepada pesawah akan dilakukan menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Sementara itu, bayaran kepada nelayan laut dan nelayan darat pula masing-masing menerusi menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Menerusi kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, pemberian bantuan khas sempena Syawal itu dijangka akan dapat memanfaatkan seramai 240,000 orang pesawah dan 38,500 orang nelayan di seluruh negara.

”KPKM berharap bantuan yang diberikan ini dapat membantu pesawah dan nelayan dalam membuat persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, BKKA kepada pesawah dan nelayan merupakan julung kali diadakan dalam pentadbiran Kerajaan Madani diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada sama sekali bantuan sempena Aidilfitri kepada golongan terbabit semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan Keluarga Malaysia yang masing-masing diketuai oleh Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BACA JUGA Bantuan khas Aidilfitri kakitangan awam dibayar 17 April