Pesawah terima tunai RM200, bantuan pekebun kecil getah naik RM800

Kerajaan Perpaduan menerusi Belanjawan Madani 2023 mengumumkan sumbangan tunai kepada pesawah padi sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu melibatkan 240,000 pesawah dengan peruntukan sebanyak RM228 juta.

Dalam masa sama, sumbangan musim tengkujuh daripada RM600 kepada RM800 untuk
tempoh empat bulan turut akan dinaikkan.

“Ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung 320,000 pekebun kecil dengan peruntukan RM256 juta,” jelasnya.

Bagi meningkatkan pendapatan minimum penoreh getah juga, kerajaan menaikkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan sebanyak RM350 juta.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu ekoran kenaikan kos pengeluaran dan penurunan harga getah yang agak membebankan pekebun kecil getah.

Sehubungan itu, beliau menggesa Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk memudah cara kaedah tuntutan terutama melibatkan pekebun kecil yang terpaksa keluar berpuluh kilometer hanya untuk mendapatkan insentif tersebut.

“Ini tidak boleh lagi menjadi amalan kerana menyusahkan rakyat. Saya mahu LGM lebih responsif turun padang menguruskan tuntutan pekebun kecil dan mula bertindak proaktif dalam soal penyaluran tuntutan,” arahnya lagi.

BACA JUGA Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak terima STR