PH, BN mampu kekalkan kerajaan Negeri Sembilan

DAP Negeri Sembilan berpendapat gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu mengekalkan kerajaan negeri yang sedia ada pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Julai ini berdasarkan kepada ketiadaan aktiviti PN, kesiapsiagaan DAP dan prestasi kerja Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Ahli Jawatankuasa DAP negeri, S Veerapan berkata berbanding lima buah negeri yang lain, blok gabungan Pas dan Bersatu gagal untuk memenangi satu kerusi DUN pada Pilihan Raya lalu, sekali gus memberi isyarat awal kepada kemampuan Perikatan Nasional (PN) untuk menawan negeri itu.

“Setakat ini kerja lapangan PN melalui gerak kerja program atau berjumpa dengan rakyat, masih tidak kelihatan.

“Ia memberi petanda baik kepada PH dan BN untuk mengekalkan kemenangan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.

Justeru, Veerapan yang juga ADUN Repah itu optimis dengan tahap kesiapsiagaan jentera partinya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Negeri Sembilan merupakan salah satu negeri yang akan berdepan dengan pilihan raya negeri tahun ini. Negeri lain yang turut menyaksikan pilihan raya negeri adalah Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Setakat ini DAP bersedia lebih daripada 80 peratus melalui persiapan ahli dan jentera untuk menghadapi PRN.

“Apapun DAP akan terus mempertahankan 11 kemenangan kerusi yang disandang,” ujar Veerapan.

Prestasi wakil rakyat

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi Dan Kepenggunaan turut menekankan prestasi wakil rakyat ketika berkhidmat adalah kunci utama untuk mengekalkan kemenangan.

“Kita tidak boleh ambil ringan, kerana mood pengundi lebih memilih calon yang rajin menyantuni rakyat dan turun ke lapangan.

“Oleh itu, kita mesti melakukan sehabis baik untuk memastikan kemenangan pada PRN ini,” ujarnya lagi.

Pada 15 April lalu, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berpendapat PN sukar untuk menawan Negeri Sembilan berbanding negeri-negeri utara Semenanjung.

Jelasnya, faktor gabungan PH dan BN serta kes membabitkan beberapa pemimpin Bersatu berhubung tuduhan rasuah menjadi punca blok pembangkang melalui perjalanan yang sukar untuk menawan negeri penuh adat itu.

Sementara itu, setiausaha DAP Anthony Loke Siew Fook merangkap pengerusi DAP Negeri Sembilan memberi bayangan akan terus mempertahankan kemenangan 11 kerusi yang disandang pada pilihan raya yang lalu.

Menurutnya, perundingan kerusi di Negeri Sembilan lebih mudah untuk diselesaikan kerana semua kerusi penyandang adalah sama ada daripada PH ataupun BN.

BACA JUGA: ‘Gelombang hijau’ makin lemah, PN sukar menang di Negeri Sembilan