PH mesti ambil semula Kedah

Tekad untuk Pakatan Harapan (PH) mengambil semula Kedah harus menjadi realiti dan memerlukan komitmen bersungguh-sungguh semua pihak.

Dalam masa sama, suara pembangkang di Kelantan dan Terengganu harus lebih kuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selain mengekalkan kuasa sedia ada di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sasaran untuk merampas kembali Kedah perlu direalisasikan.

Menurutnya yang juga Setiausaha Agung PKR, hasrat tersebut memerlukan pengorbanan dan PH perlu dikukuhkan.

Walaupun PH hanya mampu mempertahankan Parlimen Sungai Petani pada PRU15, ahli dan penyokong tetap bersemangat untuk menghadapi PRN.

“Semua rasa prejudis terhadap PH perlu segera dipadamkan dan kita tidak boleh toleh ke belakang lagi. Gerak kerja telah pun digerakkan bagi memastikan Kedah mampu dikuasai semula.

“Dalam masa terdekat kesemua enam buah negeri yang akan terlibat dalam PRN seharusnya sudah ada asas untuk memenangi PRN kali ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Konvensyen PH Kedah di Sungai Petani semalam.

Saifuddin memberitahu antara langkah yang perlu dilakukan menjelang PRN ini ialah pembentukan jawatankuasa rundingan kerusi, jawatankuasa mobilisasi serta jawatankuasa komunikasi.

Tambahnya, masa yang berbaki kini semakin singkat dan semua pihak disarankan supaya jangan kedekut serta jangan pula ada yang tamak sekiranya mahu menang PRN kali ini.

Dalam konvensyen dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada pimpinan PKR, AMANAH dan DAP itu, tiga kertas kerja dibentangkan.

Selain Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri, dua lagi pembentang ialah Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, RSN Rayer.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kedah, Nurul Izzah Anwar menyampaikan ucapan penutup.

BACA JUGA Kerajaan Pulau Pinang martabatkan agama Islam