PH Negeri Sembilan harap rundingan agihan kerusi secara ‘perpaduan’

Pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), belum dibincangkan setakat ini.

Namun, Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (MPPH) negeri, Abd Latif A Tambi mengharapkan proses rundingan agihan kerusi itu dapat dijalankan secara ‘perpaduan’.

Beliau berkata, dalam pembahagian kerusi itu nanti, diharap setiap parti politik mempunyai ‘tempat’ masing-masing.

”Kalau boleh, pastikan tiada parti politik yang ketinggalan di setiap kawasan, supaya nanti ada wakilnya.

”Contohnya, kita ada empat orang Yang Berhormat (YB) di daerah Tampin ini. DAP di Repah, Barisan Nasional (BN) di DUN Gemencheh dan Gemas serta BN di peringkat Parlimen Tampin.

Abd Latif A Tambi

”Ini bermakna, BN sudah ada tiga wakil, DAP pun seorang wakil, tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) tiada wakil,” katanya kepada Harapan Daily ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Gemencheh, kelmarin.

Abd Latif mengulas demikian apabila ditanya mengenai ‘bayangan’ pembahagian kerusi menjelang PRN tidak lama lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi MPPH Tampin menyifatkan, jika pembahagian kerusi tersebut dilakukan secara sama rata, ia akan memberi gambaran sebenar istilah ‘perpaduan’ itu sendiri.

”Perpaduan itu adalah sebahagian daripada unsur toleransi yang membolehkan semua pihak mencapai kemenangan di penghujungnya” ujarnya lagi.

Buat masa ini, PH menguasai 20 daripada 36 kerusi DUN manakala BN mempunyai 16 kerusi yang diperoleh pada PRU14.

Sementara itu, pada PRU15 tahun lalu, BN menang lima kerusi Parlimen di Negeri Sembilan berbanding tiga kerusi dimiliki PH iaitu Seremban, Rasah dan Port Dickson.

BACA JUGA Jangan gugur mana-mana, PH Negeri Sembilan wajib pertahan 20 kerusi