PH Terengganu minta Ahmad Said tidak perkecil peranan parti gabungan

PH Terengganu minta Ahmad Said tidak perkecil peranan parti gabungan

Parti komponen Pakatan Harapan (PH) mempunyai peranan penting dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu walaupun Umno dan Pas merupakan parti yang lama wujud.

Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, hakikatnya pada PRN yang lalu, lapan kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) hanya ditentukan dengan majoriti nipis kurang daripada 900 undi dan ada yang hanya majoriti empat undi.

Sementara itu, PH pula merekodkan undi lebih tinggi daripada majoriti kemenangan Umno atau Pas di lapan kerusi tersebut.

“Contohnya, DUN Ajil majoriti hanya empat undi, DUN Bukit Besi majoriti hanya 46 undi dan DUN Jabi majoriti hanya 55 undi.

“Undi diperolehi PH lebih tinggi daripada majoriti kemenangan Umno atau Pas. Di sini perlu diingat peranan parti gabungan lain yang tidak harus diperkecilkan.

“Rundingan kerusi di antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di negeri-negeri lain berjalan dengan lebih baik dan harmoni tanpa merendahkan satu antara lain cara terbuka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang berkata, parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan yang bertanding dalam PRN Terengganu perlu menerima hakikat bahawa ‘pertarungan’ sebenar dalam pilihan raya itu hanya melibatkan dua parti dominan iaitu Pas dan Umno.

Ahmad Said dilapor berkata, parti komponen termasuk PKR perlu berlapang dada terutama melibatkan keputusan agihan kerusi yang telah dicadangkan Umno Terengganu kepada pimpinan tertinggi di peringkat Pusat, baru-baru ini.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu juga berkata, ahli PH boleh dilantik memegang jawatan dalam GLC atau menjadi Senator sekiranya tidak terpilih sebagai calon.

Mengulas hal itu, Raja Kamarul berkata, PH sama sekali tidak mengharapkan jawatan lantikan tetapi hanya mahu menyumbang secara bermakna pada PRN terutamanya dalam lapan kerusi majoriti nipis di Terengganu.

Menurutnya, parti ‘baru’ boleh membantu menjadi penentu ‘king maker’ jika penglibatan mereka dihargai dan tidak direndahkan.

“Perlu diingat sekali lagi undi diperolehi Pakatan Harapan dalam lapan DUN di PRN lepas lebih besar daripada majoriti kemenangan.

“Semoga kita bersama sama muhasabah diri jika kita rakan dalam satu bahtera yang menuju ke matlamat yang sama,” ujar Raja Kamarul lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )